Khamis, 3 Mei 2018

Sos Cili Ala Thai yang Mudah dan Sedap

Biasa daku beli sos pencicah yang sudah siap, tetapi hari ini kita buat sendiri pula. Ramai rakan-rakan FB sudah membuatnya. Jadi, bolehlah kita cuba juga.


RESEPI SOS CILI ALA THAI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

*3 tangkai cili kering
*4 tangkai cili merah
*2 biji bawang putih
Bahan bertanda * dikisar dengan 1/2 cawan air
3 cawan air
1/3 cawan cuka
1/3 cawan gula merah
1/3 cawan gula atau secukup - boleh kurang atau tambah ikut rasa masing-masing
1 sudu kecil atau secukupnya garam
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar tepung jagung dibancuh dengan sedikit air

Cara-cara membuatnya


Bahan-bahan πŸ‘†πŸ‘†dikisar sehingga halus. Kalau nak pedas, boleh tambah cili padi sebanyak yang kita suka.


Masukkan bahan kisar ke dalam periuk. Tambah air dan buka api.

Masukkan juga garam, gula, cuka dan gula perang. Biarkan ia mendidih.


Masukkan juga sos cili sementara menunggu mendidih tu. Kacau sekali-sekala.


Tengoklah tu, ia sudah mendidih. Boleh perlahankan api sikit. Boleh cuba dulu rasanya. Ada masam, manis dan masin secukupnya.


Kemudian, tuang bancuhan tepung jagung untuk memekatkan sos.


Biar mendidih lagi sekali. Lepas tu bolehlah tutup api.


Sejukkan dulu seketika sebelum dimasukkan dalam bekas dan disimpan.
Mak Hencik simpan dalam peti sejuk sebab yang buat sendiri ni tiada bahan pengawet. πŸ˜πŸ˜€πŸ˜πŸ˜€

Jom makan dengan keropok ikan, lekor atau keping, tauhu sumbat pun boleh, tauhu bergedil pun boleh, segala jenis cucur dan yang sama waktu dengannya..

Rabu, 2 Mei 2018

Tauhu Bergedil Nak Oii yang Sedap

Mudah juga nak buat tauhu bergedil ni.. kalau kau rajinlah, nak oii. Kalau kau malas, semua benda jadi susah, nak oii. Ingatlah pesan mak ni, nak oii..! πŸ˜‚πŸ˜‚πŸ˜‚


Cara buat pun macam buat bergedil jer pun. Penambahbaikan ialah kita sumbat bergedil tu ke dalam tauhu kering yang sudah kita buang isi dalamnya. Isi dalam tauhu tu jangan kau buang pula nak oii..


Habis tu nak letak di mana?

Masukkan sekali ke dalam bergedil tu tadi. Eh awak faham tak ni? Awak faham tak ni, nak oii..


RESEPI TAUHU BERGEDIL
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

10 biji tauhu kering - dipotong dua, bentuk segitiga.
1 biji bawang putih - dicincang
1/2 labu bawang besar - dicincang
1 cawan isi ayam
1/2 ketul kiub ayam
1/2 sudu kecil serbuk lada sulah
1/2 sudu kecil serbuk lada hitam
Sedikit minyak untuk menumis
3 ketul ubi kentang - direbus dan dilecek
Sedikit daun sup - dihiris halus
Sedikit bawang goreng - diramas
Sedikit garam

Cara buat inti


Tumiskan bawang putih dan bawang besar sehingga layu.


Kemudian masukkan isi ayam kisar, kiub ayam, serbuk lada sulah dan serbuk lada hitam.


Gaul sehingga rata dan sebati. Bila ayam sudah masak, tutup api. Ketepikan.


Tauhu kering dipotong tiga segi. Buang isi dalamnya. Isi dalamnya disimpan, jangan dibuang. Ketepikan.


Kentang direbus sehingga masak. Kemudian ditoskan airnya. Selepas itu dilenyek semasa masih panas.


Masukkan isi ayam dan isi tauhu kering. Bubuh sedikit garam dan gula secukup rasa.


Bubuh serbuk lada hitam dan serbuk lada sulah.


Bubuh juga daun sup yang dihiris halus dan bawang goreng. Gaul hingga rata.


Rupa paras tauhu yang sudah di operate. Huhu.


Ambil sedikit adunan bergedil tadi dan sumbatkan ke dalam tauhu kering. Kemaskan supaya tidak terkeluar. Buat sampai habis.


3 biji telur dipecahkan dan dipukul sedikit menggunakan garpu.


Panaskan minyak. Celupkan tauhu bergedil ke dalam telur dan goreng. Bila telur sudah berwarna perang, balikkan.


Bila sudah masak, angkat dan toskan minyak. Gorenglah sehingga habis. Sekejap sahaja, tak lama pun. Hehe


Sekarang bolehlah kita makan bersama sos kicap pedas. Tapi hari ni kami cicsh guna pencicah yang dibeli atau dibuat ajer.. Pastinya enak sekali makan bersama keluarga tersayang..

Jemput menikmati hidangan kawan-kawan semua..

Bismillah..

Selasa, 1 Mei 2018

Bihun Goreng Cili Kering Ikan Bilis Lantak Korang Ler

Bihun goreng ni ialah antara kegemaran suami saya. Tapi elakkan letak ikan bilis kerana ikan bilis antara bukan kegemarannya. Tapi hari ni dia outstation, jadi kita pun bolehlah buat nakal sikit..

Bersama kicauan burung pada pagi ini, marilah kita masak dan makan bihun goreng. Tak tahulah sama ada ini terpaksa atau sukarela. Biasa keluar sarapan di luar. Tapi hari ini  tidak perlu pergi ke kedai makan sebab tak ada orang yang nak teman. Huhu


RESEPI BIHUN GORENG CILI KERING IKAN BILIS
oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 keping bihun - direndam 30 minit, ditoskan
2 biji bawang putih
1 biji bawang merah
3 sudu besar cili kering
2 sudu besar sos cili
1/2 sudu kecil serbuk pati ikan bilis
3/4 cawan air atau secukupnya
1 tangkai lada merah - dipotong serong
sedikit ikan bilis
sedikit karot - dihiris halus memanjang
sedikit kobis - dipotong halus
garam dan gula secukupnya

Cara-cara menyediakannya

Jom masuk ke dapur!



Ikan bilis, bawang putih dan bawang merah. Cili keringnya mana? Cili keringnya Mak Hencik gunakan cili kering yang Mak Hencik dan siap kisar dan simpan dalam peti sejuk. Senangkan nak masak nanti.



Karot yang dihiris halus-panjang dan kobis yang dipotong halus.



Bihun yang direndam sekejap dengan air biasa jer supaya lembut, kemudian toskan airnya.


Langkah 1
Tumbuk bawang putih dan bawang merah sehingga lumat. Kemudian, masukkan ikan bilis dan tumbuk lagi. Tak perlu hancur sangat. Kalau nak hancur lumat pun, lantak korang ler..



Langkah 2
Sediakan kuali. Panaskan minyak, tumis bahan tumbuk sehingga naik bau dan hampir garing sambil dikacau selalu supaya tidak hangus. Kalau korang nak hangus pun, lantak korang ler..



Langkah 3
Masukkan pula sayuran seperti kobis dan karot. Gaul rata. Kalau korang nak biar jer macam tu pun, lantak korang ler..



Langkah 4
Masukkan air. Biarkan ia mendidih. Kalau korang nak sampai kering pun, lantak korang ler..



Langkah 5
Sementara menunggu mendidih tu, bolehlah kita masukkan garam, gula dan serbuk ikan bilis secukupnya. Kalau korang nak letak selori pun, lantak korang ler..



Langkah 6
Bila sudah mendidih, barulah kita masukkan bihun yang ditoskan tadi. Gaullah dengan semangat membara. Kalau korang tak nak gaul pun, lantak korang ler..



Langkah 7
Lepas tu masukkanlah sos cili dalam dua sudu besar. Kacau lagi sehingga rata. Kalau Korang nak letak sebotol sos cili pun, lantak korang ler..



Langkah 8
Bila sudah sebati warna dan rasa, bolehlah ditutup api. Kalau korang tak nak tutup api pun lantak korang ler..



Langkah 9
Akhir sekali, bolehlah dimasukkan ke dalam mangkuk hidangan untuk dinikmati dengan keluarga tersayang. Tapi kalau korang nak hidang dengan kuali tu pun, ahhh.. lantak korang ler.. 😝😝😝



Langkah 10

Berbaju askar corak celoreng,
Sayang sekali takutkan lintah;
Mari bersarapan dengan bihun goreng,
Di serambi rumah tepi kebun getah.

Bismillah..

Ahad, 29 April 2018

Biskut Samperit Dahlia Tanpa Telur yang Rangup

Akulah tukang letak ceri merah atau hijau kat atas kelopak biskut samperit dahlia masa aku kecil dahulu. Pada waktu itu, ceri merah atau hijau akan dipotong kecil-kecil untuk dihias di atas biskut.


Kali ini kita letak cip coklatlah pulak. Ambil lebihan buat biskut sebelum ini. Senang tak payah potong. Budak-budak pun makan hiasan yang ini. Hihi


RESEPI BISKUT SAMPERIT DAHLIA TANPA TELUR YANG RANGUP
Oleh Dapur Cempakasari
Sumber resepi : Blog Cik Matahari

Bahan-bahan

250gm mentega
110gm gula halus - resepi asal gula aising
1 sudu kecil esen vanilla
115gm tepung kastard
110gm tepung jagung
160gm tepung gandum - resepi asal tepung red rose 🌹

Cara-cara menyediakannya

Jom jom jom..


Langkah 1
Dalam mangkuk adunan, masukkan mentega, gula halus dan esen vanila. Kacau sehingga sebati menggunakan sudip kayu.


Langkah 2
Kemudian masukkan tepung kastard dan tepung jagung sedikit demi sedikit. Kacau sehingga rata.


Langkah 3
Masukkan pula tepung gandum. Kacau lagi menggunakan sudip kayu.


Langkah 4
Bila sudah agak berat dikacau, bolehlah gunakan jari-jemari untuk membentuk adunan yang lembut.

Kalau rasa adunan masih lembek, boleh tambah sedikit tepung jagung.


Langkah 5
Gunalah acuan semperit yang berkenan di hati. Yang πŸ‘†πŸ‘† Mak Hencik guna acuan pecah lapan.

Panaskan oven 170°C selama 10 minit.

Letakkan cip coklat kat atasnya atau hiasan lain yang sesuai seperti ceri merah atau hijau atau lain-lain hiasan yang disukai.

Langkah 6
Masukkan dulang biskut ke dalam oven, 170°C selama 20 minit, atau ikut uols punya ragam oven tersendiri.


Bila dah keperangan, keluarkan dari oven dan sejukkan sebentar sebelum dimasukkan ke dalam balang.


Langkah 7
Bersesak-sesak di dalam balang plastik berpenutup merah..

Bismillah..