Rabu, 14 Mac 2018

Gulai Kuning Nenas Ikan Masin yang Sedap

Hari ni kita masak gulai ikan masin. Gulai ini istimewa kerana ikan masin tu adalah buah tangan dari insan istimewa juga iaitu sahabat akrab, Nidah Pok Meri.



Masakan ini juga merupakan masakan kegemaran suami saya. Kalau ikan masin digoreng begitu sahaja, dia kurang gemar pula.


Isi ikan masin ni sedap rasanya, tapi saya kurang pasti apa namanya. Tahu makan sahaja. 😂😂😂 Ia dari jenis ikan besar, isinya tebal juga.

Nenas tu pula saya beli di kedai Acheh berdekatan rumah. Manis sangat rasanya. Sedap.


GULAI KUNING NENAS IKAN MASIN
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

10 keping ikan masin - direndam dalam air yang dimasukkan secubit garam.
2 keping nenas atau secukupnya dipotong kecil

*1 biji bawang merah besar saiz sedang
*1 biji bawang putih
*2 tangkai cili kering
*3 hiris lengkuas
*1 inci kunyit
Bahan bertanda * dikisar halus

1 cawan santan pekat
3 cawan air
2 tangkai lada hijau
1 keping asam gelugur
Garam dan gula secukupnya

Cara-cara menyediakannya

Mari.. mari kita ke dapur..


Antara bahan-bahan yang digunakan. Bawang putih, bawang merah, cili kering, kunyit dan lengkuas dikisar halus, asam gelugur, ikan masin, nenas dan santan.


Mula-mula kita panaskan santan, masukkan bahan kisar, lada hijau, asam gelugur atau asam keping. Masukkan juga sedikit garam. Sedikit sahaja kerana ikan masin ni memang sudah masin. Masukkan juga gula untuk seimbangkan rasa masin tadi.


Kacau perlahan-lahan sehingga kuah mendidih.


Bila kuah dah mendidih, masukkan kepingan ikan masin dan nenas.


Biarkan gulai kita menggelegak seketika. Rasalah.. sedap tak?

Bila dah masak,rasa pun sudah sedap.. tutup api. Eh dah siap ke? Cepatnya. Cepatnya.


Bolehlah masukkan gulai kuning nenas ikan masin ke dalam mangkuk hidangan. Hidangan lain ialah ayam goreng rempah, sambal belacan dan ulam timun. Mmm.. sedapnya. Jemput makan semua..

Bismillah..

Selasa, 13 Mac 2018

Ayam Masak Sos Black Pepper

Antara masakan lauk ayam yang boleh dicuba. Rasanya enak dengan cara penyediaan yang cukup mudah. 🍗🍗🍗



Untuk hasil masakan yang sedap, pilihlah sos lada hitam yang sedap. Kalau sos lada hitam yang kita guna tu kurang sedap, maka hasil masakan kita pun jadi kurang sedap. Jadi, pilihlah sos lada hitam yang sedap supaya masakan kita menjadi sedap. Kalau sos lada hitam yang kita guna tu kurang sedap, maka hasil masakan kita pun akan jadi kurang sedap. Jadi pilihlah sos lada hitam yang sedap supaya hasil masakan kita menjadi sedap. Oi oi oi berapa kali nak ulang ni oiiii. 😂😂😂


RESEPI AYAM MASAK SOS BLACK PEPPER
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

12 ketul ayam - dipotong sederhana besar
1 biji bawang merah besar - dihiris nipis
2 ulas bawang putih - dihiris nipis
2 biji lada hijau - dipotong serong
1/2 biji bawang besar Holand - dipotong wedges
1/3 cawan sos lada hitam
1 sudu besar sos tiram
1 cawan air
1 sudu teh serbuk lada sulah
1 sudu teh serbuk lada hitam
Minyak secukupnya untuk menumis dan menggoreng

Cara-cara menyediakannya

Jommmmmm kita ke dapur


Ketulan ayam digaul dengan sedikit serbuk lada sulah dan serbuk lada hitam. Kemudian goreng sehingga masak.


Ayam yang sudah digoreng, ketepikan seketika.



Hiris bawang putih dan bawang merah besar. Potong serong lada hijau.


Sos black pepper


Langkah 1
Panaskan minyak. Tumis bawang putih dan bawang merah sehingga layu.


Langkah 2
Masukkan sos lada hitam. Gaul sehingga sebati.


Langkah 3
Masukkan pula sedikit air. Masukkan sos tiram. Kacau lagi sehingga rata


Langkah 4
Kemudian masukkan ayam yang telah digoreng tadi. Gaul sehingga rata. Biarkan kuah mendidih seketika.


Langkah 5
Akhir sekali masukkan lada hijau yang telah dipotong serong dan bawang besar Holand yang dihiris. Kacau lagi.

Mak Hencik tidak masukkan garam dan gula kerana rasanya sudah sedap secukup rasa.


Bila sudah masak, bolehlah ditutup api.


Langkah 6
Masukkan hasil masakan kita ke dalam mangkuk hidangan. Sedia untuk dinikmati..

Jemput makan kawan-kawan

Bismillah..

Buah longan buah kuini,
Mari dimakan di tepi kali,
Siap hidangan untuk hari ini,
Ayam masak sos lada hitam, mudah sekali.

Nasi Dagang Gulai Ikan Tongkol

Pergi membeli jagung🌽🌽 setongkol,
Dimakan anak 👬👭 di hujung desa;
Set nasi dagang gulai ikan 🐟 tongkol,
Pastinya enak memikat rasa 😘😘

Buat nasi dagang ni kena ada pengurusan masa yang betul, barulah tidak kelam-kelibut. Ya ke? 😂😂😂

Semasa kita mengukus beras tu, kita kena rebus ikan untuk menggulai ikan, lepas tu buat acar timun dan akhir sekali buat sambal belacan. Haaa.. siap set nasi dagang kita..



RESEPI NASI DAGANG GULAI IKAN TONGKOL
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan nasi dagang

4 cawan beras wangi
1 sudu kecil halba
1 1/2 cawan santan
Sedikit garam
Sedikit gula


Cara-cara menyediakannya

Jommmmmmm



Langkah 1
Mula-mula kita basuh bersih beras kemudian kita rendam semalaman. Kalau rsok nak masak nasi dagang, pada sebelah malamnya Mak Hencik sudah rendam beras tu..

Ada orang kata rendam sekurang-kurangnya 2 jam pun ok.





Bila kita nak masak nasi tu, kita masukkan beras yang telah ditoskan ke dalam pengukus dan kita biar dia di situ. Kita kukus selama 40 minit.



Langkah 2

a. Sediakan santan. Masukkan garam dan gula ke dalam santan. Biar seimbang masin dan manis. Gaul sebati.



b. Sediakan bawang putih hiris, bawang merah hiris dan halia hiris. Halba juga. Gaul semua sekali.



Langkah 3
Selepas 40 minit berlalu, beras yang dikukus tadi sudah separuh masak. Keluarkan dari pengukus dan masukkan ke dalam bekas yang sesuai. Pastikan bekas cukup besar untuk menggaul dan menunggang-balik nasi tu nanti.



Langkah 4
Masukkan santan beserta bahan-bahan hiris termasuk halba. Gaul perlahan-lahan sehingga rata menggunakan sudip kayu supaya biji nasi tidak patah atau hancur. Pastikan santan bergaul mesra dengan nasi.

Tinggalkan sedikit bahan hiris dan halba untuk ditabur nanti.





Langkah 5
Setelah selesai menggaul, masukkan semula nasi tadi ke dalam bekas untuk dikukus buat kali kedua dan terakhir. Jangan lupa tabur lebihan bahan hiris dan halba.



Langkah 6
Kukuslah ,nasi dagang tadi, lebih kurang 30 minit.



Setelah masak, tutup suis dan bolehlah dimasukkan ke dalam mangkuk hidangan. Siap nasi dagang kita. 😊😊

Next move on masak gulai pula. Jommmm

RESEPI GULAI IKAN TONGKOL
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahannya

*4 keping isi ikan tongkol
*Sedikit garam
*2 keping asam gelugur
*2 cawan air
Semua bahan bertanda * direbus sehingga air hampir kering

**1 biji bawang merah besar
**2 biji bawang putih
**1 inci kunyit hidup
**3 hiris lengkuas
**3 tangkai cili kering
Semua bahan bertanda ** dikisar halus

2 sudu besar serbuk kari ikan
1 keping asam gelugur
4 cawan santan
Garam dan gula secukupnya

Cara-cara membuatnya




Ikan tongkol rebus

Langkah 1
Mula-mula kita rebus ikan tongkol.
Di dalam periuk, tabur sedikit garam dan letak asam keping. Kemudian letak ikan. Tabur sedikit lagi garam kat atas ikan dan letak lagi sekeping asam. Masukkan air separas ikan.

Letak di atas dapur dan buka api. Tutup periuk dan biarkan terbuka sedikit. Rebus sehingga air hampir kering. Dah masak tutup api. Rasa ikan rebus ni perlu ada masam dan sedikit masin.




Langkah 2
Kisar sehingga hancur bawang merah, bawang putih, lengkuas, kunyit dan cili kering.




 Sediakan serbuk kari ikan


Langkah 3
Di dalam periuk, masukkan santan, bahan kisar, asam gelugur dan lada hijau. Buka api. Masukkan juga garam dan gula secukupnya.



Kacau selalu sehingga mendidih.




Langkah 4
Apabila mendidih, masukkan serbuk kari ikan. Kacau lagi.



Langkah 5
Kemudian masukkan ikan rebus.




Biarkan ia mereneh seketika sehingga kuah pekat. 




Langkah 6
Dah masak, tutup api.




Masukkan ke dalam pinggan. Siap. 😊😊

ACAR TIMUN

Bahan-bahan

1 biji timun - potong panjang 2 inci, dibuang empulur, dibasuh bersih dan ditoskan.
2 inci karot - dihiris halus
*1/2 biji bawang besar holand - dihiris
*1 biji lada hijau - dipotong serong
*2 sudu besar cuka makan
*3 sudu besar gula
*1 sudu kecil garam
Semua bahan bertanda * disatukan dan dikacau sehingga garam dan gula hancur.

Cara-cara membuatnya

Jommmmmmm

Mula-mula sediakan bahan-bahannya 




Timun dan karot




Kacau garam, gula, cuka, bawang besar Holand dan lada hijau sehingga garam dan gula hancur.



Masukkan timun dan karot. Gaul sehingga sebati dengan larutan cuka tu.



Masukkan ke dalam pinggan. Siap. 😊😊

SAMBAL BELACAN

11 biji cili padi - tambah kalau nak lagi pedas.
1 biji lada hijau
1/4 bawang besar Holand - dibakar
2 biji bawang putih - dibakar
1/2 inci belacan - dibakar
1 biji tomato 🍅
Garam
Gula
Jus lemon 🍋 atau limau nipis atau limau kasturi.



Masukkan cili padi, cili hijau, tomato, bawang putih, bawang besar, belacan, jus lemon dan sedikit air ke dalam mesin pengisar. Kisarlah sehingga hancur.



Tu diaaa..! Dah siap dah semua peralatan nasi dagang kita. Sekarang bolehlah kita menghidang dan seterusnya menjamu selera.



Jemput makan semua..

Bismillah..