Isnin, 4 Februari 2019

Gulai Lemak Ikan Keli dengan Daun Kesum dan Belimbing Buluh

Rasanya memang memukau habis!


Masakan gulai lemak yang sedap adalah terletak pada santannya. Gunakan santan segar untuk mendapatkan rasa lemak yang asli. 💖💖💖



Aroma daun kesum menghilangkan bau hanyir ikan darat seperti ikan keli. Kuah gulai lemak juga akan berbau wangi daun kesum.



GULAI LEMAK IKAN KELI DENGAN BELIMBING BULUH DAN DAUN KESUM
Oleh Dapur Cempakasari

2 ekor ikan keli, disiang, dibasuh bersih dan dikelar kemudian dilumur dengan garam dan kunyit. 
*1 biji bawang merah besar
*1 biji bawang putih
*1 hiris lengkuas
*1 inci kunyit
*3 biji cili padi, jika nak pedas tambah lah ikut suka
Bahan bertanda * dikisar sehingga hancur.
1 cawan santan pekat + 2 cawan air
7 biji belimbing buluh, atau secukupnya (kalau tak ada, boleh masukkan sekeping asam keping) 
5 tangkai daun kesum
Garam secukupnya

Cara-cara menyediakannya

Jom kita menggulai. Kita sediakan bahan-bahan dahulu ya.. 


Ikan keli disiang dan dibasuh menggunakan air asam jawa dan satu sudu kecil garam sehingga ikan keli tidak lagi berlendir. Kemudian, bilas dengan air sehingga bersih.



Lumur badan ikan dengan garam dan serbuk kunyit sehingga rata.



Selepas itu, ambil kuali non stick dan panaskan atas dapur. Ikan keli yang dilumur kunyit pun kita masukkan sekali. 😉😉



Kita panggang sampai masak. Ala-ala salai lah konon. 😂😂😂

Dah masak, angkat dan biarkan seketika.



Untuk ramuan, kita kisar sampai lumat bawang merah besar, bawang putih, kunyit, lengkuas dan cili padi.

Belimbing buluh dibelah dua. Daun kesum tu boleh diceraikan daun dan batang atau boleh juga dibiarkan begitu sahaja.

Jom mulakan memasak.



Langkah 1
Di atas dapur, tenggekkan periuk yang sesuai. Masukkan santan, bahan-bahan kisar dan belimbing buluh. Kacau selalu sehingga mendidih.



Langkah 2
Bila sudah mendidih, masukkan garam dan daun kesum. Kemudian, masukkan pula ikan keli ala salai tadi. Kacau dengan cermat.



Kacau sehingga mereneh dan kuah jadi pekat sedikit. Lepas tu bolehlah tutup api.



Langkah 3
Bila sudah masak, bolehlah dimasukkan ke dalam bekas hidangan.



Hidangan untuk hari ini seadanya. Jemput makan semua..

Bismillah..


Tiada ulasan:

Catat Ulasan