Jumaat, 6 September 2019

Nasi Goreng Pattaya

Dah puas makan nasi berlauk, kita tukar menu. Kita masak nasi goreng pula. Tengahari ni kita masak nasi goreng pattaya. Sedappp...


Teka-teki.. Sila jawab ya.

Nasi apa boleh bergerak?

Alahhh..soalan senang pun kena jawab ke..? Mestila nasi goreng pattaya (pattaya = empat tayar)
😂😂😂


NASI GORENG PATTAYA
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

Nasi Goreng

2 cawan nasi
2 biji bawang putih, diketuk
1 sudu besar cili kering kisar
1 ketul isi ayam, dipotong halus
1/2 batang karot, disagat
Lada merah, dihiris serong
2 sudu besar minyak masak

Cara-cara membuatnya


1. Panaskan minyak masak. Tumiskan bawang putih ketuk dan cili kering kisar sehingga naik bau.

2. Masukkan isi ayam dan gaul rata sehingga isi ayam masak.

3. Masukkan karot yang disagat dan lada merah hiris. Kacau seketika.

4. Masukkan pula nasi putih. Perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa. Gaul sehingga rata.

5. Dah sedap secukup rasa bolehlah tutup api.

Cara buat telur dadar nipis.

1 biji telur
Sedikit minyak masak
Kuali non stick


1. Panaskan kuali dan lengserkan minyak masak.

2. Pecahkan sebiji telur di dalam mangkuk dan pukul sedikit menggunakan sudu.


3. Bila kuali sudah panas, tuang telur yang dipukul tadi di bahagian tengah dahulu. Angkat dan gerakkan kuali sehingga telur memenuhi kuali. Bila sudah masak, angkat dan masukkan ke dalam pinggan.


4. Masukkan nasi goreng dalam bekas yang sesuai. Tekan sehingga rapat.


5. Letakkan nasi di atas telur dadar nipis.


6. Lipat telur membungkus nasi goreng.


7.  Ambil pinggan dan telungkupkan di atas nasi berbungkus telur tadi. (ni cara orang amatur macam Mak Hencik 😂😂😂


8. Terbalikkan pinggan. Hasilnya 👆👆


9. Akhir sekali hias dengan sos cili.


Tiga pinggan untuk 3 anak yang akan balik dari sekolah tengahari nanti.

Nasi goreng pattaya hidangan tengahari,
Jemputlah makan, tunggu apa lagi..

Bismillah..

Khamis, 5 September 2019

Nasi Dagang Terengganu

Makanan yang dicari apabila pergi ke Terengganu.. Nasi Dagang.. Gulai ikan tongkol.. Berair mulut terr...!



Apabila memasak nasi dagang, Mak Hencik akan masak gulai dahulu diikuti dengan memasak nasi dagang. Ada orang masak nasi dagang dulu. Eh suka hati kita lah nak buat yang mana dulu kan. 😆😆😆

Nasi dagang Terengganu ni kita gunakan beras wangi. Tak perlu campur dengan beras pulut.

Kalau kita guna beras pulut, kita mesti icampur dengan beras biasa, mesti dicampur dengan nisbah 1:3, iaitu 1 cawan beras pulut dicampur dengan 3 cawan beras biasa.

Terpulanglah kepada kita nak guna beras apa. Sebab yang nak makan tu kita. Hahahahaha.. 

NASI DAGANG TERENGGANU
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

3 cawan beras wangi, dibasuh bersih dan direndam sekurang-kurangnya 3 jam. Biasanya Mak Hencik rendam semalaman.
1 cawan santan sederhana pekat
3 ulas bawang putih, dihiris nipis
1 biji bawang merah besar, dihiris nipis
4 hiris halia - dipotong halus memanjang
1 sudu besar halba
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara membuatnya.



Basuh bersih beras wangi dan rendam sekurang-kurangnya 3 jam. Biasanya Mak Hencik akan rendam semalaman. Kalau esok nak masak nasi dagang, malam ni Mak Hencik akan rendam beras wangi.



Beras wangi ditos dan dimasukkan ke dalam loyang atau bekas yang sesuai dan tutup pengukus.



Kukus selama 40 minit.



Sementara itu, kita sediakan bawang putih hiris, bawang merah besar hiris, halia hiris halus memanjang dan halba. Campur dalam satu bekas dan gaul sebati. Bahagi pula kepada dua bahagian.

Satu bekas untuk digaul bersama nasi nanti dan satu bekas lagi untuk ditabur di atasnya.



Secawan santan sederhana pekat diperasakan dengan garam dan gula. Biar ada rasa masin dan sedikit manis.



Apabila sudah cukup 40 minit, tutup suis pengukus elektrik dan masukkan nasi yang separuh masak ke dalam mangkuk adunan.



Ambil santan yang telah diperasa tadi dan tuang sedikit demi sedikit ke dalam bekas adunan nasi diselang-seli dengan campuran bawang, halia dan halba.



Gaul sebati menggunakan sudip kayu. Gaul dengan hati-hati supaya biji nasi tidak patah.



Akhir sekali, masukkan semula nasi yang telah diarung dengan santan tadi ke dalam loyang. Tabur diatasnya dengan campuran hirisan bawang, halia dan halba.



Tutup pengukus dan kukus sehingga masak, lebih kurang 40 minit.

Lepas tu kita masak gulai pula. Jom masak gulai ikan tongkol.

GULAI IKAN TONGKOL
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

4 ketul ikan tongkol, direbus
2 biji bawang putih, dihiris halus
1 biji bawang merah besar, dihiris halus
1/2 inci halia, dimayang
1 sudu besar cili kering kisar
4 sudu besar rempah gulai nasi dagang, dicampur dengan sedikit air
1 sudu besar rempah gulai masak
1 cawan santan pekat
2 cawan air atau secukupnya
1 sudu kecil kerisik
Sedikit air asam jawa
Segenggam cili akar
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara membuatnya



Ikan tongkol direbus bersama air, asam keping dan garam secukup rasa. Sesudah masak, toskan air rebusan.



Rempah gulai nasi dagang yang terkenal di Terengganu. Ada dua jenis iaitu rempah gulai dan rempah masak.



4 sudu besar rempah gulai dicampur dengan sedikit air.



Bawang putih, bawang merah dan halia yang dihiris untuk menumis serta cili akar untuk di masukkan di akhir masakan. 



Langkah 1
Panaskan minyak masak dan tumis bahan hiris sehingga kekuningan bersama 1 sudu besar cili kering kisar. 

Kacau rata sehingga cili kering masak dan bahan tumis layu. 



Langkah 2
Kemudian, masukkan bancuhan rempah gulai. Kacau sehingga rata dan naik minyak.



Langkah 3
Masukkan pula santan pekat dan air secukupnya. Kacau lagi dan tunggu sehingga kuah mendidih.



Langkah 4
Bila kuah sudah mendidih, masukkan pula air asam jawa.



Langkah 5
Masukkan ikan tongkol yang telah ditoskan airnya tadi. Perasakan dengan garam dan gula.



Langkah 6
Kacau lagi sehingga kuah mendidih dan masukkan satu sudu besar rempah masak tadi. 

Bila kuah sudah hampir pekat, masukkan 1 sudu kecil kerisik. 

Akhir sekali masukkan segenggam cili akar. Kacau sekali sekali dan biarkan kuah menjadi pekat.



Langkah 7
Bila kuah sudah pekat, rasa pun sudah sedap maka bolehlah tutup api.

Jadi, siaplah menu kita hari ini. Nasi dagang dan gulai ikan tongkol. Nak lagi terangkat, buatkan acar timun.

Pak Seman pergi berdagang,
Balik berdagang urat berketul;
Jom kita semua makan nasi dagang,
Dengan lauk gulai ikan tongkol.

😋😋😋😋😋

Bismillah..

Rabu, 4 September 2019

Mi Goreng Ringkas

Laparnya.. Sedap sungguh kalau pekena mi goreng. Ringkas-ringkas pun tak per, janji sedap!



Buka sahaja tudung, terus ke dapur menyelongkar peti ais. Mi Numee ada lagi. Lebihan masak mi udang semalam.


Keluarkan udang, sotong, tauge dan bebola sayuran. Rasanya dah cukup untuk masak mi goreng ringkas ni.

Nasi pun ada dalam periuk dengan gulai lemak daging. Tapi mulut ni gedik pula, mengidam mi goreng pula. 😂😂😂


MI GORENG RINGKAS
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

250 gm mi kuning
1 biji bawang putih, diketuk
1 sudu besar cili kering kisar
4 ekor udang, dibuang kulit
3 ekor sotong, dibersihkan dan dipotong bulat
5 biji bebola sayuran, dipotong nipis
3 sudu besar kicap manis
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tiram
Segenggam tauge
Cili merah atau cili hijau, dihiris serong
2 sudu besar minyak untuk menumis

Cara-cara membuatnya

Jom kita masak. Satgi boleh makan cepat.


MI kuning untuk 2 orang makan. Kalau makan sikit-sikit sorang boleh makan empat orang.


Tauge, bawang putih yang diketuk, lada hijau dan merah dihiris menyerong, udang, sotong dan bebola sayuran yang dihiris nipis.


 Langkah 1
Panaskan kuali dan masukkan 2 sudu besar minyak masak. Tumis bawang putih dan cili kering kisar sehingga garing.


Langkah 2
Masukkan udang dan sotong. Kacau sehingga rata, sehingga udang dan sotong masak.


Langkah 3
Bila udang dan sotong sudah masak, masukkan pula hiris an bebola sayuran. Gaul lagi sehingga rata.


Langkah 4
Masukkan mi diikuti dengan kicap, sos cili dan sos tiram. 

                                    

Gaul lagi sehingga rata. Mak Hencik tak letak garam dan gula sebab perasa tu kita dapatkan dari sos-sos tu. 


Langkah 5
Akhir sekali masukkan tauge. Gaul lagi sehingga sebati.


Haaaaaa.. Dah siap dah mi goreng yang mudah ni.

Sedap tak? Sedap tak?


Mmmmm.. Sedapnya.. Sedapnya..
Ya Allah.. Perasannya..😂😂😂

Jom makan semua..

Askar memakai baju celoreng
Apa lagi.. Marila makan mi goreng..

Bismillah..

Isnin, 2 September 2019

Serawa Durian dan Pulut

Mmmmm.. Memang sedap! Memang lazat!




Banyak pula peniaga durian di pasar minggu hari ini. Lima enam tuan. Durian pula dah ada jual longgok. Selonggok rm20 sahaja. Ada laa dalam 4 ke 5 biji. Tak sempat kira betul-betul pulak musim durian dah nak habis.



Masa beli tadi penjual durian yang Ramai-ramai pagi tadi dah balik. Tinggal satu lori penjual durian jer. Beli lah juga dua longgok. Pastu dia bagi free satu longgok. Terima kasih daun keladi ya penjual durian.



SERAWA DURIAN
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

15-20 biji durian
2 cawan santan pekat
3 cawan air
1 1/2 kerek (keping) manisan Kelantan saiz kecil
1/2 cawan gula, boleh kurangkan jika tidak suka manis
1/2 sudu kecil garam

Cara-cara membuatnya

Ajommmm...



Sediakan durian. Untuk buat serawa, durian yang masak ranum adalah sesuai. Pastikan durian tu manis, baharulah sedap serawa durian kita!



Santan, manisan Kelantan dan gula. Kalau tiada manisan, boleh ajer guna gula merah.



Langkah 1
Di dalam periuk, masukkan santan, air, gula, garam dan isi durian.



Langkah 2
Kacau sekali-sekala sehingga isi durian tertanggal dari bijinya.



Langkah 3.
Sudah masak tutup api. Siap!

Ajommmm kita menanak pulut pula. Kita tanak pulut guna dapur gas jer sebab sikit jer kita tanak.

Senang jer nak tanak pulut ni. Kalau selalu praktis, memang mudah..

PULUT TANAK

Bahan-bahan

2 cawan beras pulut
3 cawan air

Cara-cara menyediakannya.

Jommm..



Basuh 2 cawan beras pulut dengan air 3 kali. Kemudian masukkan air. Lebihkan air 2-3 inci dari aras pulut.

Letakkan atas api dan tunggu sehingga menggelegak. Selepas menggelegak 2-3minit, Baharu lah tutup api.



Angkat periuk dan tuang air dari periuk ke dalam sinki. Kalau ada air lebihan sikit-sikit tu OK jer.



Lepas tu letak semula periuk tadi di atas dapur dan tutup periuk. Bukalah api perlahan. Tunggu sehingga naik wap.



Bila dah naik wap, cuba lah buka tudung periuk tu. Dah masakkan?
😄😄😄

Bolehlah kita hidangan dengan serawa durian. Kalau malas nak masak pulut makan dengan roti pun best gak serawa durian ni..



Jemput makan kawan-kawan semua..

Bismillah..