Jumaat, 24 April 2020

Sira Pisang Santan

Rasa yang lemak dan manis. Lazat rasanya tidak terperi.

Kuih pencuci mulut pertama di hari pertama pada bulan Ramadhan.

Lazimnya kuih-muih manis tidak dilupakan sepanjang bulan puasa. Bahkan kehadiran kuih-muih manis ini menjadi satu kemestian pada bonda dan ayahanda Mak Hencik.


Sebelum menjamah hidangan nasi dan selepas menikmati kurma sebaik sahaja azan berbunyi, kuih-muih manis jadi pilihan. Cukup diambil semulut dua sebelum beralih menikmati hidangan utama.


Sebaik sahaja selesai menunaikan solat terawih, sekali lagi kuih-muih manis ini akan dicari. Sambil berbual bersama ahli keluarga semasa menonton TV, kuih ini akan dimakan sekali lagi.

Walaupun biasa sahaja menunya tapi rasanya mmm.. sedap sekali.


RESEPI SIRA PISANG
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

5 biji pisang nangka
1 cawan santan pekat
2 cawan air
1 biji telur
2 sudu besar gula
1/2 kepung nisan
5 tangkai bunga cengkih
2 helai daun pandan
Sedikit garam

Cara-cara membuatnya


Pisang dikupas kulitnya dan dipotong tiga bahagian secara serong.


Sediakan 5 tangkai bunga cengkih.


Pecahkan sebiji telur dan godek sedikit. Ketepikan.

Cara memasak.


Sediakan periuk yang sesuai.

Masukkan 1 cawan santan pekat, 2 cawan air, 1/2 keping nisan, 2 sudu besar gula dan sedikit garam.

Masukkan sekali daun pandan yang disimpul dan bunga cengkih. Buka api.

Biarkan santan menggelegak sambil dikacau selalu.


Bila sudah menggelegak, baharulah masukkan pisang.


Biarkan pisang masak sambil dikacau sekali-sekala.


Bila pisang dah masak, bolehlah kita tuang telur yang telah digodek sambil dikacau dengan cepat.

Kuah akan jadi pekat.


Biarkan sekejap sehingga telur benar-benar masak.


Bila sudah masak, bolehlah tutup api.


Boleh dihidangkan. Mak Hencik masukkan ke dalam bekas kecil supaya senang dimakan.

Untuk rasa yang lebih enak, kita simpan dia dalam peti sejuk.

Jom makan kenkawan..

Bismillah..

Rabu, 22 April 2020

Tepung Boko Ubi Kayu Hijau

Sedap. Lemak dan manis!

Ada satu lagi bungkusan ubi kayu parut frozen yang Mak Hencik simpan hari tu. Inilah masa yang sesuai untuk dibuat kuih.

Pasalnya budak-budak ni nampaknya nak makan desert. Sambil-sambil dok tengok TV tu, diorang dok mengangkut makan kat depan TV.

Lagi pula, kalau buat kuih tradisional ni, Pak Hencik lah yang paling suka. 😁😁😁


RESEPI TEPUNG BOKO HIJAU UBI KAYU
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

Lapisan hijau

3 cawan ubi kayu parut
3 cawan air - kalau tak cukup boleh tambah sikit-sikit
1 cawan gula - tak nak manis, boleh kurangkan
1 sudu kecil pewarna hijau
1/2 sudu kecil garam

Lapisan santan

1 cawan santan pekat (Mak Hencik guna santan kotak kecil)
3 cawan air
1 sudu kecil garam
4 sudu besar tepung beras dibancuh dengan 1/2 cawan air

Cara-cara membuatnya.

Kita buat lapisan hijau dahulu.


Di dalam kuali, masukkan semua bahan seperti ubi kayu, air, pewarna hijau, gula dan sedikit garam. Kacau sehingga rata.


Buka api dapur dan kacau perlahan sehingga warna hijau bertukar ke warna jernih.

Dalam masa dok mengacau tu, jika ubi belum bertukar ke warna jernih, boleh juga kalau nak tambah air sikit.


Bila warna dah bertukar ke warna jernih macam dalam gambar, bolehlah tutup api.


Masukkan ke dalam bekas kecil 1/2 penuh.

Boleh juga jika nak masukkan ke dalam mangkuk hidang. Bila nak makan tinggal cedok ke dalam piring.

Kalau guna bekas kecil tu pula, bila nak makan tinggal ambil sudu dan sudukan ke mulut sahaja.

Dah siap masukkan ke dalam bekas, siaplah buat lapisan hijau.

Jom kita buat lapisan santan pula.


Mula-mula sediakan bancuhan tepung beras. 4 sudu besar tepung beras di bancuh dengan 1/2 cawan air. Ketepikan.


Di dalam kuali, masukkan 1 cawan santan pekat dan 3 cawan air beserta sedikit garam.

Kacau menggunakan whisk sehingga menggelegak.


Bila sudah menggelegak, masukkan bancuhan tepung beras tadi. Biarkan ia pekat sambil dikacau selalu.


Biarkan santan meletup-letup. Kemudian bolehlah tutup api.


Selepas itu bolehlah kita ruang santan pekat ke atas lapisan hijau tadi.


Dapatlah lebih kurang 20 ke 21 bekas.


Tutup bekas dan simpan dalam peti sejuk. Kuih ni sedap dimakan sejuk.


Jemput makan sahabat semua..

Bismillah..

Rabu, 15 April 2020

Resepi Roti Paratha yang Sangat Mudah

Biasa kita beli sahaja roti paratha ni. Tapi hari ini syukurrr ke hadrat Allah kita telah belajar membuatnya sendiri. Yesss!



Bukan susah pun sebenarnya nak buat roti paratha ni. Cuma perlukan ketajinan sahaja. Ni kalau bukan kerana perintah kawalan pergerakan nih, Mak Hencik rasa Mak Hencik lebih suka makan pagi di luar bersama keluarga. Dah jadi satu rutin dah buat kami sekeluarga makan di luar pada hari minggu. Dapatlah meluangkan masa bersama keluarga setelah lima- enam hari kita bekerja.

Berbalik kepada menu hari ini, ini adalah hasil tak boleh bergerak ke mana-mana di luar rumah. Boleh bergerak ke La Dapuria, ke El Jambano, ke Las Bilika Tiduriya dan sewaktu dengannya sahaja. 

Mahu tak mahu kenalah buat sarapan sendiri. Tapi hasilnya tidak mengecewakan. Kita boleh belajar makan dan buat sesuatu yang baru.


RESEPI ROTI PARATHA
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

2 cawan tepung gandum
2 sudu besar minyak sapi
1 cawan air panas - Mak hencik guna air panas yang ditapis sahaja. Resepi asal letak air panas mendidih.
1 sudu kecil garam
1 sudu besar gula
sedikit minyak untuk dilengser pada kuali semasa membakar

Cara-cara membuatnya

Jom..jom..Jom  kita ke dapur.



Dalam sebuah bekas yang sesuai, masukkan 2 tepung gandum, 1 sudu kecil garam, 1 sudu besar gula dan 2 sudu besar minyak sapi. Gaul menggunakan hujung jari sehingga menjadi seperti serbuk roti.


Buatkan lubang di tengah-tengah kemudian tuang air panas mendidih. Kacau menggunakan sudip. Awas! Jangan guna jari sebab sangat panas.


Bila sudah sejuk sedikit, baharulah kita boleh gunakan tangan untuk menguli sehingga menjadi adunan yang lembut seperti di atas.


Perap dulu sekejap dalam 30 minit.


Lepas tu bulatkan sebesar yang kita nak. Kalu besar bebola tu maka besarlah roti paratha kita nanti.

Lepas tu kita ambil sebijik bola tu dan canai bagi dia nipis. Kalau doh melekat pada penorak tu boleh lah taburkan sedikit tepung ya.

Sambil tu boleh letak kuali leper atas dapur dan lengserkan sedikit minyak masak.


Ambil roti yang dicanai nipis tadi dan letakkan dalam kuali leper.

Tunggu biar dia gelembung, baharulah boleh dibalikkan.


Gelembung macam gitu ler gayanya ya. 😁😁


Bila kedua-dua belah dah masak, bolehlah diangkat dan dimasukkan ke dalam pinggan.

Ulangi proses seterusnya sehingga selesai


Masukkan ke dalam pinggan hidang.

Cara masak Kari Jimat Cermat


KARI JIMAT-CERMAT

Bahan-bahan

1 biji kentang - dipotong dadu
1 biji bawang putijh - ditumbuk
2 biji bawang merah kecil - ditumbuk
1 biji cili hijau - dipotong serong
1 biji tomato, dibelah 6
1 tangkai daun kari, jika ada. 
3 sudu besar serbuk rempah kari daging - dibancuh dengan 1 cawan air
3 cawan air
1 sudu kecil serbuk cukup rasa Maggi
2 sudu besar minyak masak

Cara-cara membuatnya

1. Panaskan 2 sudu besar minyak masak, tumis bahan tumbuk sehingga berbau wangi.
2. Bila bahan tumis sudah kekuningan, masukkan bancuhan rempah kari. Kacau sehingga rata dan tunggu sehingga kkering.
3. Bila sudah kering, masukkan kentang yang dipotong dadu. Masukkan juga air asam jawa. dan daun kari,jika ada. Kacau sehingga rata.
4. Kemudian masukkan 3 cawan air dan tomato. Biarkan sehingga mendidih.
5. Sambil itu, masukkan bahan perasa seperti garam, gula dan serbuk peraa maggi.
6. Biarkan kuah mendidih dan pekat sebelum ditutup api.
7. Hidangkan.


Siaplah hidangan sarapan kita pada hari ini. Roti paratha biasa cicah kuah kari jimat-cermat. Ada sedikit pencuci mulut iaitu wadai kipeng. Air pula teh o sahaja.

Jadi, tunggu apa lagi. Jemput makan semua

Bismillah..

Isnin, 13 April 2020

Kuih siput kosong letak bawang

Guna bahan asas sahaja. Maklumlah semua nak kena jimat..

Dah tak boleh ke mana-mana ni mulut pun jadi nakal. Ia jadi cepat lapar nak mengunyah. Nak keluar selalu beli barang dan jajan bagai tidak sesuai. Jadi, kami pun buatlah kudapan sendiri. Hangpa tak mau kaa kudapan siput ni.. Sipu ni bukan sebarang siput. Hukum memakannya adalah harus. Kekehkeh.



KUIH SIPUT BAWANG
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

4 cawan tepung gandum
1/2 cawan marjerin
1 biji telur
3/4 - 1 cawan air
1 sudu kecil garam
3 sudu besar gula
1/2 cawan bawang besar Holland - dicincang halus
Minyak secukupnya untuk menggoreng.

Cara-cara membuatnya

Jom..jom..jom..rajinkan diri anda.



Dalam sebuah bekas yang sesuai, masukkan 4 cawan tepung gandum, 1/2 cawan marjerin, 1 sudu kecil garam dan 3 sudu besar gula. Gaul hingga menjadi serbuk roti.



Buatkan lubang di tengah, pecahkan sebiji telur dan tuang air ke dalamnya.



Uli sehingga menjadi doh yang lembut. Kalau lembik, kena tambah tepung tau.




Kalau nak tambah bawang Holland cincang, bolehlah tambah sekarang. Pastu uli lagi sehingga rata.



Seeloknya bawang tu kena betul-betul halus supaya senang nak ditenyeh nanti. 😀😀




Sediakan senjata untuk menyiput.



Sebelum tu kena sediakan dulang atau bekas yang sesuai. Tabur dulu dengan sedikit tepung gandym supaya siput tidak melekat di dulang.

Lepas tu cubit sikit adunan tepung, tenyeh dekat papan pencanai siput shingga ia membentuk seperti siput. Ulangi proses sehingga habis. Kalau buat sorang-sorang, mau lenguh pinggang, lenguh belakang juga. Better buar reramai.

Mak hencik minta budak-budak ni buatkan. Daripada dok ngadap tepon tu baik la korang buat siput mi. Nanti korang jugak yang nak makan.

Dah habis siap semua, bolehlah panaskan kuali yang mengandungi minyak yang agak banyak.


Siput digoreng dengan gembira sehingga masak.


Bila sudah masak, angkat siput-siput yang tidak bernyawa. Goreng yang lain sampai habis.


Toskan minyak. Biarkan ia sejuk sedikit kemudian baharulah dimasukkan ke dalam balang. Hurmmm.. nampaknya macam-macam saiz ada. Mungkin ikut saiz jari orang yang membuatnya..Hihihi

Sekarang bolehlah kita kunyah-mengunyah..

Bismillah..


Sabtu, 11 April 2020

Resepi Rendang Daging Ringkas dan Lazat

Rasa rendang yang sedap, mestilah yang ada rasa pedas, ada bau daun kunyit dan daun limau purut. Fuhhh! Meleleh.. Ada ke yang suka rendang?



Setiap negeri ada cara memasak rendang maing-masing. Rendang tok, yang terkenal di Perak dimasak dengan gayanya tersendiri. Rendang nogori di Negeri Sembilan juga dimasak denga cara tersendiri. Rendang yang Mak Hencik nak masak ni? Mestilah dengan gaya dan citarasa tersendiri..



Rendang yang korang masak pula tu macam mana gaya? Korang pun masaklah ikut gaya dan ragam korang tersendiri..Pandai-pandailah nak adjust bahan dan kaedah mengikut gaya korang masing-masing asalkan ada rupa rendang dan rasa rendang. Sekiranya nak masak rendang, tetiba dah jadi macam sambal belacan, maka diwajibkan ke atas korang untuk cuba lagi.Hihihi



RESEPI RENDANG DAGING YANG MUDAH
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1/2 daging lembu - dipotong kiub atau potong nipis
10  tangkai cili kering - dibuang biji dan direndam dalam air panas
2 biji bawang putih
7 biji bawang merah kecil (waktu perintah kawalan pergerakan ni susah nak keluar, jadi Mak Hencik guna 4 biji sahaja)
3 hiris lengkuas
1 inci kunyit hidup
2 batang serai - 1 batang dihiris, 1 batang diketuk
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jintan kasar
1 sudu kecil ketumbar
Bahan bertanda hendaklah dikisar sehingga halus
3 cawan santan
1 keping asam gelugur
2 sudu besar kerisik
Garam dan gula secukup rasa



Cara-cara memasak.


Mula-mula kita buat persediaan dahulu.


Antara bahan-bahan yang digunakan.


1 sudu kecil jintan manis, jintan kasar dan ketumbar dibauh bersih dan ditoskan.


Kisar bawang putih, bawang merah, cili kering, serai, kunyit, lengkuas, jintan manis, jintan kasar dan ketumbar.dikisar sehingga halus.

Jom kita memasaknya..


Di dalam periuk atau kuali yang sesuai, masukkan daging diikuti oleh santan, bahan kisar, 1 keping asam gelugur dan sebatang serai yang diketuk. Buka api.



Kacau rata sekali-sekala sehingga daging empuk.



Bila daging sudah empuk, perasakan rendang dengan garam dan sedikit gula.

Masukkan juga kerisik, diikuti oleh daun limau purut dan daun kunyit.



Bila kita masukkan kerisik, kuah rendang akan menjadi pekat. 



Kacau lagi sehingga kuah betul-betul pekat. 

Bila kuah dah elok dah kepekatannya, bolehlah tutup api.



Masukkan ke dalam pinggan dan hidangkan. Rendang hari ni kami makan dengan nasi lemak. Selain dengan nai lemak, makan dengan nasi putih sedap. Makan dengan nasi minyak, nai beryani, nasi arab semua sedap wehhhh!

Jemput makan semua..

Bismillah..