Ahad, 22 Mac 2020

Ikan Percik Kuali

Cara memasak ikan percik Kelantan yang telah dipermudahkan. Guna kuali jer..


Siapa yang teringin nak makan ikan percik boleh buat sendiri. Senang jer sebab resepi ni telah dipermudahkan menggunakan kuali jer. Tapi kalau nak sedap dan ada aroma asap api tu, bolehlah bakar guna arang atau sabut  kelapa atau tempurung kelapa.. Bertambah sedap uols!

Tapi kalau nak segera, guna sahaja cara bandaraya macam Mak Hencik nih.Dijamin mudah, cepat dan sedap. 


Kebetulan pula pada hari minggu yang lalu, Pak Hencik telah membeli tiga ekor ikan lolong atau ada juga yang panggil ikan mata besar atau ada juga yang panggil ikan Uji Rashid. Bertuah betul pelakon dan penyanyi popular era 70-an ini..Ya la kan,, namanya akan disebut sehingga bila-bila. Ikan tu kan kekal ada sampai bila-bila..

Berbalik kepada menu kita pada hari ini..mari kita cuba..


RESEPI IKAN PERCIK KUALI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

2 ekor ikan lolong
1 cawan santan pekat ditambah dengan 2 cawan air
🎈1 biji bawang merah besar saiz kecil
🎈1 ulas bawang putih
🎈2 hiris halia
🎈5 tangkai cili kering - dibuang biji, dipotong dan direndam air panas
Bahan bertanda 🎈 dikisar sehingga halus

1 keping asam gelugur
1 batang serai - diketuk
1 sudu kecil tepung beras dibancuh dengan 1/3 cawan air
Garam dan gula secukup rasa.

Cara-cara menyediakannya

Jom..Jom..Jom kita ke dapur..



Ikan lolong disiang dan dibasuh bersih. Kemudian lumur dengan sedikit garam pada keseluruhan badan ikan.

Ikan ni kita boleh tukar kepada ikan lain seperti ikan kembung, ikan selar, ikan ayam-ayam atau kami panggil ikan jebong. Itu adalah antara jenis-jenis ikan yang mak biasa buat masak percik.



Ikan yng telah dillumur garam tadi dibakar atas kuali tak ajaib atau dengan kata lain guna pan biasa sahaja.

Apabila telah masak, balikkan ikan supaya isi ikan masak dengan sekata.



Dah masak ikan yang dibakar atas kuali, angkat dan masukkan ke dalam pinggan. Ketepikan.



Bawang merah, bawang putih, halia dan cili kering dikisar dengan sedikit air sehingga hancur.




Sediakan serai yang diketuk sedikit dan sekeping asam gelugur.


Langkah 1

Di dalam kuali, masukkan santan pekat dan dua cawan air. Masukkan juga bahan yang telah dikisar halus tadi. Masukkan sekali serai yang diketuk dan asam keping. Masukkan secubit garam dan sedikit gula secukup rasa. Biar kuah percik ni ada rasa manis sedikit sebab ikan tadi sudah masin disalut garam.

Buka api dan kacau selalu supaya santan tidak berketul. Terus kacau sehingga santan hampir pekat.



Langkah 2
Bila santan sudah hampir pekat, masukkan bancuhan tepung beras. 




Teruskan kacau sehingga kuah menjadi pekat. Rasa dulu kuahnya dan sempurnakan rasa. Keluarkan asam gelugur dari kuah supaya tidak menjadi terlalu masam.




Langkah 3

Akhir sekali masukkan ikan bakar atas kuali tadi. Gaul rata dengan cermat supaya ikan tidak patah atau tercerai kepala dari badan, nanti tak cantik pula.



Biarkan ikan bersalut kuah percik seketika sehingga kuah betul-betul pekat dan bersalut mesra dengan ikan.



Bila sudah masak, tutup api dapur dan hidangkan ikan di dalam pinggan hidang.



Marilah kita menjamu selera untuk hari ini dengan lauk yang sederhana ini.

Jemput makan semua..

Bismillah..

Sabtu, 21 Mac 2020

Teh Tarik Vanilla

Teh tarik dengan perisa Vanilla. Creamy dan sedap! Nak lagi secawan!




TEH VANILLA TARIK
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 liter air
3 sudu besar serbuk teh
1/2 cawan susu pekat manis - boleh kurang atau tambah mengikut citarasa masing-masing 
1 sudu teh esen vanilla


Cara-cara membuatnya



Di dalam periuk, didihkan satu liter air bersama 3 sudu besar serbuk teh. Masukkan 1 sudu kecil esen vailla.



Apabila air sudah menggelegak beberapa minit, matikan api dapur,

Tuang dan tapis ke dalam jug yang sesuai.



Masukkan 1/2 cawan susu dan bancuh ikut manis masing-masing.



Akhirnya tuang air teh vailla ke dalam jug tahan panas.



Ni diaaaa jugnya. Lepas tu bolehlah angkut jug ni ke meja makan.



Hari ni kita bersarapan di beranda..Teh vanilla, nasi goreng dan telur mata.. Ditemani pokok getah, burung-burung dan awan. 

Jemput sarapan ..

Bismillah..

Jumaat, 20 Mac 2020

Apam Bakar Kelantan

Sedapnya. Bertambah sedap apabila dimakan bersama kelapa parut putih.




Campuran air bawang merah dan halia serta serbuk lada hitam menjadikan rasa apam ni sebijik seperti yang Mak Hencik makan semasa kecil dahulu.

Teringat pula dekat arwah mak yang sangat gemar makan kuih ni. Rindu mak! 



APAM BAKAR KELANTAN
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan


3 cawan tepung beras
1 cawan gula pasir (kalau tak suka manis, boleh kurangkan kepada 3/4 cawan)
1/2 sudu teh garam
2 sudu teh  yis segera
1/2 sudu teh lada hitan - ditumbuk halus
1 ulas bawang merah 
1/2 inci halia
300 ml air
3 biji pisang berangan - dilenyek
4 ketul tapai ubi - dilenyek

Kelapa parut putih - dicampur sedikit garam dan dikukus 10 minit supaya tahan lama.


Cara-cara menyediakannya.

Mula-mula kita sediakan bahan-bahannya dahulu ya. Jom!


Langkah 1
Hiris bawang merah dan halia.



Tumbuk bawang merah dan halia tadi sehingga lumat.



Masukkan 300 ml air dan kacau sebati.



Lepas tu kita tapis dan masukkan ke dalam bekas. Ketepikan.



Langkah 2
Tumbuk lada hitam sehingga halus. Ketepikan.



Langkah 3
Pisang sebanyak 3 biji dan tapai ubi sebanyak 4 ketul.



Lenyek sehingga hancur.



Langkah 4
Di dalam bekas, masukkan 3 cawan tepung beras, lada hitam yang ditumbuk halus, garam, gula dan yis segera.



Langkah 5
Masukkan air dan kacau sehingga sebati.



Langkah 6
Masukkan pula pisang dan tapai yang dilenyek tadi.



Kacau lagi sehingga rata dan sebati. Bancuhannya cair sedikit dari cekodok.



Gini ler kepekatannya lebih kurang. Guna kaedah cuba jaya ya.. 😊😊


Langkah 7
Tutup bekas dengan kain selama 4-5 jam atau sehingga ia kembang dan berbuih. Biasanya kalau nak makan pagi esok, malam ni dah boleh prepare dah.



Langkah 8
Bila adunan sudah kembang dan berbuih, bolehlah kita start untuk membakar pula.
Kita bakar atas kuali jer, bukan dalam oven tau.



Langkah 8
Lengser sedikit minyak pada kuali sebelum menuang 1 senduk kecil ke dalamnya.



Tutup dengan tudung periuk.



Bila sudah masak bahagian bawah, buka tudung periuk. Kat atasnya tu ada effect berlubang-lubang. Lepas tu kenalah balikkan supaya kedua-dua belah masak sekata. Tutup dengan tudung periuk tu ya.



Bila sudah masak, angkatlah kuih apam bakar kita tuuu. Kalau tak angkat nanti jadi hangus pula. Kena buang nanti, membazir pula. Huhuhu

Bakarlah apam bakar ni sampai habis..



Akhir sekali, kukus kelapa parut putih yang dicampur dengan sedikit garam. Kukus dalam 10 minit giteww supaya kelapa parut ni tahan lama, lambat basi.



Untuk dimakan, ambillah sebiji apam bakar kelantan ni dan letakkan sedikit kelapa atau orang Kelate panggil nyior..Makanlah dengan cermat. Sebelum tu bacalah bismillah dahulu ya.

Bismillah..

Khamis, 19 Mac 2020

Ikan Selar Masak Kicap

Dok tengok-tengok kita masak sejak tadi lagi. Mai la makan..


Hari ini hari pertama Lock Down selama 14 hari berikutan Covid19. Kawalan pergerakan ini meminta kita duduk d i rumah dan hanya keluar untuk perkara yang perlu sahaja. Kalau keluar pula, hanya seorang sahaja iaitu ketua keluarga.

Perhimpunan yang melibatkan ramai orang hendaklah dielakkan. Restoran boleh dibuka tetapi hanya untuk bawa balik atau bungkus dan dimakan di rumah. Kedai-kedai keperluan seperti kedai runcit dan kedai serbaneka boleh dibuka untuk membekalkan keperluan kepada orang ramai. Kedai-kedai selain itu hendaklah ditutup.

Semoga Covid19 dapat dibendung.Aamiin.



Untuk menu masakan hari ini, kita masak Ikan Selar Masak Kicap. Biasa ikan ni Mak Hencik goreng kunyit jerrr, tapi hari ni kita simbah badan dia dengan kicap manis yang pastinya sedap apabila dinikmati nanti.

Ada yang suka tak ikan selar masak kicap ni?

Jom kita memasak.




IKAN SELAR MASAK KICAP
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan


3 ekor ikan selar, saiz sedang
3 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
5 tangkai cili kering
1 biji tomato - dipotong empat
1/2 biji bawang besar Holland - dipotong wedges
1 biji bawang besar - dipotong serong
1/2 cawan air
3 sudu besar kicap manis
3 sudu besar minyak masak untuk menumis
Minyak secukupnya untuk menggoreng ikan

Cara-cara menyediakannya.

Sebelum memasak, kita sediakan bahan-bahannya dahulu. Jommmm..



Ikan selar disiang, dibasuh bersih kemudian toskan airnya.

Selepas tu, goreng ikan tadi. Balikkan supaya masak sekata, Bila sudah masak, angkat dan masukkan ke dalam pinggan. Ketepikan.

Ikan yang digoreng tu tak perlu bubuh garam dan kunyit ya. Just goreng kosong gitu jer.


Bawang putih, bawang merah kecil dan cili kering yang telah dibuang biji dan direndam dengan air panas sekejap dikisar sehingga hancur. Ketepikan.


Potong tomato, lada hijau dan bawang besar Holland. Ketepikan.

Cara-cara memasak.




Langkah 1

Panaskan 3 sudu besar minyak masak. Tumis bahan kisar sehingga garing. Kacau selalu supaya tidak hangus.




Langkah 2

Bila bahan tumis sudah garing, masukkan 1/2 cawan air.




Masukkan 3 sudu besar kicap atau secukupnya.




Masukkan 1 sudu besar gula. Kacau sebati. Tunggu sehingga mendidih.



Langkah 3

Bila kuah sudah mendidih, masukkan bahan yang telah dihiris tadi iaitu tomato, lada hijau dan bawang besar Holland.



Langkah 4

Masukkan pula ikan selar yang telah digoreng tadi. Biarkan kuah mereneh buat seketika sambil menanti ia pekat sedikit.




Langkah 5

Bila kuah sudah agak pekat, bolehlah tutup api.




Masukkan ke dalam pinggan hidang.


Taburkan dengan hirisan daun sup, jika ada, sebagai hiasan. Siap sudah lauk kita untuk hari ini. Jom kita hidangkan bersama lauk-pauk yang lain untuk kita menikmati hidangan tengahari..

Jemput makan semua..

Bismillah..