Cara memasak ikan percik Kelantan yang telah dipermudahkan. Guna kuali jer..
Siapa yang teringin nak makan ikan percik boleh buat sendiri. Senang jer sebab resepi ni telah dipermudahkan menggunakan kuali jer. Tapi kalau nak sedap dan ada aroma asap api tu, bolehlah bakar guna arang atau sabut kelapa atau tempurung kelapa.. Bertambah sedap uols!
Tapi kalau nak segera, guna sahaja cara bandaraya macam Mak Hencik nih.Dijamin mudah, cepat dan sedap.
Kebetulan pula pada hari minggu yang lalu, Pak Hencik telah membeli tiga ekor ikan lolong atau ada juga yang panggil ikan mata besar atau ada juga yang panggil ikan Uji Rashid. Bertuah betul pelakon dan penyanyi popular era 70-an ini..Ya la kan,, namanya akan disebut sehingga bila-bila. Ikan tu kan kekal ada sampai bila-bila..
Berbalik kepada menu kita pada hari ini..mari kita cuba..
RESEPI IKAN PERCIK KUALI
Oleh Dapur Cempakasari
Bahan-bahan
2 ekor ikan lolong
1 cawan santan pekat ditambah dengan 2 cawan air
🎈1 biji bawang merah besar saiz kecil
🎈1 ulas bawang putih
🎈2 hiris halia
🎈5 tangkai cili kering - dibuang biji, dipotong dan direndam air panas
Bahan bertanda 🎈 dikisar sehingga halus
1 keping asam gelugur
1 batang serai - diketuk
1 sudu kecil tepung beras dibancuh dengan 1/3 cawan air
Garam dan gula secukup rasa.
Cara-cara menyediakannya
Jom..Jom..Jom kita ke dapur..
Ikan lolong disiang dan dibasuh bersih. Kemudian lumur dengan sedikit garam pada keseluruhan badan ikan.
Ikan ni kita boleh tukar kepada ikan lain seperti ikan kembung, ikan selar, ikan ayam-ayam atau kami panggil ikan jebong. Itu adalah antara jenis-jenis ikan yang mak biasa buat masak percik.
Ikan yng telah dillumur garam tadi dibakar atas kuali tak ajaib atau dengan kata lain guna pan biasa sahaja.
Apabila telah masak, balikkan ikan supaya isi ikan masak dengan sekata.
Dah masak ikan yang dibakar atas kuali, angkat dan masukkan ke dalam pinggan. Ketepikan.
Bawang merah, bawang putih, halia dan cili kering dikisar dengan sedikit air sehingga hancur.
Langkah 1
Di dalam kuali, masukkan santan pekat dan dua cawan air. Masukkan juga bahan yang telah dikisar halus tadi. Masukkan sekali serai yang diketuk dan asam keping. Masukkan secubit garam dan sedikit gula secukup rasa. Biar kuah percik ni ada rasa manis sedikit sebab ikan tadi sudah masin disalut garam.
Buka api dan kacau selalu supaya santan tidak berketul. Terus kacau sehingga santan hampir pekat.
Langkah 2
Bila santan sudah hampir pekat, masukkan bancuhan tepung beras.
Teruskan kacau sehingga kuah menjadi pekat. Rasa dulu kuahnya dan sempurnakan rasa. Keluarkan asam gelugur dari kuah supaya tidak menjadi terlalu masam.
Langkah 3
Akhir sekali masukkan ikan bakar atas kuali tadi. Gaul rata dengan cermat supaya ikan tidak patah atau tercerai kepala dari badan, nanti tak cantik pula.
Biarkan ikan bersalut kuah percik seketika sehingga kuah betul-betul pekat dan bersalut mesra dengan ikan.
Bila sudah masak, tutup api dapur dan hidangkan ikan di dalam pinggan hidang.
Marilah kita menjamu selera untuk hari ini dengan lauk yang sederhana ini.
Jemput makan semua..
Bismillah..