Rabu, 20 Disember 2017

Cucur Kentang atau Potato Fritters yang Sedap

Krup krap krup krap habis satu.. krup krap krup krap habis satu.. tengok-tengok habis.



Setelah berkurun lama Mak Hencik memerap resepi ini, hari ni baru tergerak hati nak membuatnya. Itupun sebab beberapa ketul ubi kentang yang terbaring lesu di dalam bekas sudah ada tanda-tanda untuk bertunas. Kesian tengok keadaan kamu..
 

Setelah menggoreng nasi untuk sarapan pagi, Mak Hencik pun memulakan misi yang mencabar ini. Ini kali pertama buat ni tau. Main cuba-cuba sahaja.  Mak Hencik tambah pewarna. Dalam resepi tu tak ada pula air. Jadi Mak Hencik tambah juga. Derhaka sikit sikit jer. Huhu.  

Cepat dan mudah sekali nak membuatnya. Macam nak buat jemput-jemput jer. Masak yang ringkas dan mudah cam gini ler yang Mak Hencik suka. Yang penting sedap!
 

Setelah siap menggoreng dan menghidangkannya, Mak Hencik pergi ke pasar. Nak beli lauk basah dan sayur-sayuran. Nak masak apa untuk tengahari nanti, tunggu ilham dari langit turun pula. Haha

Balik dari pasar, anak-anak sudah pun menjamah sarapan pagi yang disediakan. Maklumbalas mengenai cucur kentang ni ialah sangat sedap. Pastu cakap suruh buat lagi sebab sedap sangat. Hamboiii anak-anak ni..


RESEPI CUCUR KENTANG atau POTATO FRITTERS YANG SEDAP
oleh Dapur Cempakasari
kredit resepi : Noraida Durani FB

Bahan-bahan

3 biji kentang - disagat
3 sudu besar tepung gandum
4 sudu besar tepung jagung
1 biji telur
1 sudu kecil gula
1/2 sudu kecil garam
1/2 sudu teh serbuk lada putih
1/3 cawan air
sedikit daun bawang dan daun sup - dihiris halus
Sedikit pewarna oren atau ikut suka korangla nak warna apa..
minyak untuk menggoreng secukupnya 

Cara-cara menyediakannya

Jom kawan-kawan, buat sama-sama..


Ubi kentang disagat


Di dalam mangkuk adunan, masukkan kentang sagat, tepung gandum, tepung jagung, garam, gula, serbuk lada putih, daun bawang dan daun sup. Masukkan juga sedikit pewarna. Masuk air sekali.


Gaul sebati dengan penuh lemah lembut, sopan santun dan penuh kasih-sayang.


Beginilah keadaan dan rupanya..


Panaskan minyak. Sudukan adunan cucur tadi ke dalam kuali dan leperkan sikit supaya mudah garing.


Balikkan cucur kentang.



Bila dah masak, angkat dan toskan minyak. Goreng sampai habis.
 Kemudian bolehlah dihidangkan.

Mak Hencik suka yang garing. Korang suka yang macammana?


Sedap dimakan dengan sos cili Thai atau sos pencicah. 
Sementara masih panas ni, jom makan. Krup krap krup krap. Jemput makan kawan-kawan..

Bismillah..

Isnin, 18 Disember 2017

Tauhu Sumbat dan Kuah Kacang Colek Malas yang Sedap

Mudah dan ringkas untuk membuatnya, cepat pula habis dimakan..



Rasa tauhu sumbat yang sedap bergantung kepada kuahnya. Nak makan kuah yang sedap mestilah dari air tangan sendiri. Pada sesiapa yang tak puji masakanku.. Kamu jangan makan ya.. Eh eh ugut-mengugut pulak! 



Memakan tauhu atau disebut juga tofu memberi kita banyak kelebihan. Ia mengandungi sumber protein yang tinggi membuatkan perut tidak cepat lapar dan ini membantu menurunkan berat badan. Ia meningkatkan pengeluaran tenaga, membantu mengurangkan kolestrol buruk dan ini secara tidak langsung mengurangkan risiko penyakit jantung. Ia juga kaya dengan kalsium membantu mencegah osteoporosis. Percaya atau tidak, makan tauhu membantu menganjalkan kulit dan otot muka dan anti penuaan. Wahhhh!


RESEPI TAUHU SUMBAT DAN KUAH KACANG COLEK MALAS
oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan Tauhu Sumbat

6 keping tauhu - dipotong dua, bentuk tiga segi
1 batang karot - disagat
1 batang timun Jepun - disagat


Bahan-bahan Kuah Kacang Colek Malas

3 cawan air
2 sudu besar cili kisar
2 kerek manisan - boleh ganti dengan gula kabung kurang lebih 3/4 cawan
2 sudu besar gula
1 sudu kecil garam
1/3 cawan cuka

*1 cawan kacang tanah -digoreng tanpa minyak dan dibuang kulit
*1 cawan air
Bahan bertanda * dikisar halus

**2 sudu besar tepung gandum
**3/4 cawan air
Bahan bertanda ** dibancuh

Cara-cara membuatnya

Jom ler


CARA MEMBUAT TAUHU SUMBAT.


Tauhu dipotong dua, bentuk segitiga


Panaskan minyak dan goreng tauhu


Bila sudah masak, angkat dan toskan minyak. Biarkan sejuk.


Sementara itu, sagat timun jepun dan karot. Kalau korang nak letak tauge ke atau sayur- sayuran lain pun boleh. Ikut sukalah ya.


Bila tauhu sudah sejuk, bolehlah belah tengah perutnya. Jangan sampai terputus pula sebab syok sangat dok memotong. Hihi


Selepas itu bolehlah sumbatkan perut yang dibelah dengan sayuran yang disagat tadi. Buat sampai habis dan ketepikan.

CARA MEMBUAT KUAH KACANG COLEK MALAS


Manisan.
Kalau tiada boleh digantikan dengan gula kabung atau gula merah.


Cili kisar, air dan cuka


Di dalam periuk atau kuali, masukkan air, manisan, gula, garam, cuka dan cili kisar. Buka api dan biarkan hingga mendidih. Kacau sekali sekala sahaja.


Sementara itu, kisar kacang tanah yang sudah digoreng tanpa minyak dan dibuang kulit bersama air. Bab nak menggoreng kacang ni la yang paling tak suka. Mujurlah anak dara ada dan minta dia tolong. Selamaaaattt..


Bila kuah sudah mendidih, masukkan kacang yang dikisar tadi. Kacau hingga sebati.
Pastu bolehlah rasa, sedap ke tidak.


Sediakan bancuhan tepung gandum dan air


Masukkan bancuhan tepung gandum dan air untuk memekatkan kuah. Kacau rata sehingga sebati. Bila kuah dan elok pekatnya, bolehlah kita matikan api.


Yeayyy...! Sudah siap kuah kacang. Senangkan buat kuah kacang style ni. Haha


Bolehlah dimasukkan ke dalam mangkuk. Sedia dihidang dan dicicah dengan tauhu sumbat.
Kuah kacang ni juga sedap dicicah dengan aneka jenis cucur seperti cucur udang dan cucur kentang 




Mmm.. nampak sedap dan menarik tauhu sumbat kita hari ni. Mmm.. ditimpa perasankah Mak Hencik hari ni.. Haha. Tapi serius, sedap sangat. Jom makan kawan-kawan..

Bismillah...

Ahad, 17 Disember 2017

Gulai Nenas Ikan Masin Berkari Selera Sungguh

Gulai yang membuka selera makan kita terutamanya kepada penggemar masakan kampung.



Balik sahaja dari sekolah, aku dan kakak akan ke dapur. Kami akan menyalakan kayu api untuk memanggang ikan masin sebagai lauk. Ada ketika ikan yang dipanggang jatuh ke atas bara api. Cepat-cepat kami kuis keluar. Kalau tidak ikan hangus itulah yang akan mengisi perut kami.


Pada waktu petang, nenek dan datuk baru pulang dari menoreh. Mereka akan bawa bersama lauk basah untuk dimasak sebagai hidangan makan malam. Tang makan malam baru best..


Lagi satu zaman aku kecil dulu tiada peti sejuk. Bekalan elektrik pula hanya dibekal pada waktu malam sahaja. Hanya ikan masin yang boleh disimpan lama.. Gitu ler kisahnya aku dan ikan masin ni..


GULAI NENAS IKAN MASIN BERKARI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

8 keping ikan masin
2 keping nenas - dipotong kecil

*1/2 biji bawang besar merah
*1 biji bawang putih
*1/2 inci kunyit
*5 hiris lengkuas
*3 tangkai cili kering
Bahan bertanda * dikisar halus.

3 cawan santan
1 sudu besar serbuk kari ikan
1 keping asam gelugur
1-2 biji lada hijau atau merah

Cara-cara membuatnya

Marilah kita ke dapur..

Bawang putih, bawang merah, kunyit, lengkuas dan cili kering.

Asam gelugur dan lada hijau

Nenas yang dipotong kecil

Ikan pelata masin dipotong dua

Rempah kari ikan

Langkah 1
Sediakan bahan-bahan untuk memasak.
Kisar bawang putih, bawang merah, kunyit, lengkuas dan cili kering.


Langkah 2
Masukkan santan dalam periuk, masukkan bahan kisar, lada hijau dan asam gelugur. Buka api dan kacau selalu supaya tidak berketul. Kacau sehingga mendidih.

Kalau nak kuah banyak, tambahlah santan ya korang..
 
Gulai sudah mula mendidih
 

Langkah 3
Apabila sudah mendidih, masukkan rempah kari ikan. Kacau rata.
Masukkan juga sedikit garam sebab ikan masin dah masin. Kacau rata. Biar gulai mengelegak seketika.



Langkah 4
Kemudian masukkan nenas dan ikan masin. Ikan masin tu boleh ditukar mengikut selera masing-masing. Ikan sepat ke, ikan talang ke, ikan kurau ke, tulang ikan merah ke .. terpulanglah ya..


Langkah 5
Bila sudah menggelegak, bolehlah ditutup api. Sebelum tu rasalah dulu. Mmm.. sedap!


Langkah 6
Masukkan ke dalam mangkuk hidangan untuk menjamu selera. Ada sambal belacan dan petai. Mmm.. tak nampak orang kiri kanan dah..

Jemput.. jemput..

Bimillah..