Makan sahaja pun sedap sup ayam cendawan ni. Pastu hirup kuahnya..
Aku panggil si dia ni kulat. Kenapa dia dipanggil kulat?
Mak panggilnya kulat. Ayah panggilnya kulat. Semua orang kampung pun panggilnya kulat. Jadi aku pun panggil dia dengan nama kulat juga lah. Tempat korang panggil apa? Hihi
Semasa zaman kanak-kanak dahulu, aku dan rakan-rakan sebaya akan pergi ke belakang rumah untuk bermain-main. Kadang-kadang kami masuk ke dalam kebun getah untuk mencari biji getah. Masa tu, permainan laga biji getah sedang popular. Biji getah kita akan diletakkan di atas biji getah pihak lawan. Kemudian kita pukul di atasnya menggunakan tangan. Mana-mana biji getah yang pecah dikira kalah. Jadi bersungguh-sungguh sangatlah kami mencari biji getah untuk menjadi pemenang.
Dalam mencari getah itulah kalau ada rezeki terserempak dengan kulat yang banyak tumbuh selepas hujan turun. Pergi cari mak dulu sebab tak tahu kulat tu boleh dimakan atau beracun. Mak akan masakkan kulat tersebut antaranya tumis air, goreng dan masak lemak kuning. Mmm.. secebis kenangan lalu..
SUP AYAM CENDAWAN
oleh Dapur Cempakasari
Bahan-bahan
300 gm cendawan tiram
1 ketul ayam - dipotong kecil
2 ulas bawang putih - dihiris nipis
1/2 biji bawang besar merah - dihiris nipis
1 tangkai cili hijau - dipotong serong
sedikit seleri - dipotong serong
sebiji tomato - dipotong 6
sedikit karot - dipotong ikut suka masing-masing. Haha
2 inci kulit kayu manis
3 tangkai bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
4 cawan air
2 sudu besar jus limau nipis
2 sudu besar serbuk rempah sup
sedikit minyak untuk menumis
garam gula dan serbuk perasa secukupnya.
sedikit daun sup - hiasan
sedikit daun bawang - hiasan
sedikit bawang goreng - hiasan
Cara-cara memasak
Meh ler ke dapur..
Rempah 4 sekawan seperti bunga lawang. kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga cengkih, bawang putih hiris, bawang merah hiris dan cili yang akan dihiris sekejap lagi.
Ayam yang dipotong kecil
Serbuk rempah sup
Daun sup yang dipotong kasar
Langkah 1
Sediakan antara bahan yang akan dikumpulkan dalam kuali sebentar lagi. Tiada dalam gambar ialah tomato..
Langkah 2
Panaskan minyak dalam kuali dan masukkan rempah empat sekawan. Tak perlu kacau. Lepas tu, masukkan bawang putih dan bawang merah. Barulah dikacau rata sehingga naik bau dan berwarna kekuningan.
Jangan sampai kehitaman kelak nanti kuah sup kita akan gelap juga. Tak cantik nanti. Tapi kalau korang suka hitam apakan daya.. hitam tu kan menawan.
Langkah 3
Masukkan ayam. Kacau dan balik-balikkan ayam tu. Jangan balikkan kuali pula. Nanti habis tumpah ayam bawang kita.
Langkah 4
Bila ayam dah separuh masak, masukkan air.
Masukkan daun sup dan tomato.
Masukkan juga garam, gula dan serbuk perasa.
Biarkan sehingga mendidih.
Langkah 5
Sementara menunggu kuah mendidih, kita potong seleri, karot, jus limau nipis dan carik-carikkan cendawan.
Sebelum potong tu semua sayur-sayuran dibersihkan terlebih dahulu. Atau kalau nak potong dulu baru bersihkan pun no hal. Ikut suka masing-masing ya.
Langkah 6
Apabila kuah mendidih, masukkan serbuk rempah sup.
Langkah 7
Masukkan jus limau nipis secukupnya. Kacau sebati.
Langkah 8
Akhir sekali, masukkan cendawan yang dicarik. Kacau sikit. Tunggu hingga cendawan masak barulah ditutup api. Eh eh eh lupa pula nak merasa sesudu dua.. Macammana ni.. Biar ajer laaa..
Langkah 9
Itu dia rupa sup cendawan ayam.
Langkah 10
Bubuhlah si dia ke dalam mangkuk hidangan. Hiaskan sedikit dengan daun sup, daun bawang dan bawang goreng. Sedia untuk dinikmati.. Jemput makan..
Bismillah..