Isnin, 15 Oktober 2018

Kari Ikan Merah yang Sedap

Lama tak mengari.. terutamanya kepala ikan. Rasa kari ni memang sedap sangat, cara buat pula sangat ringkas. Sesuai ler dengan den yang agak 'rajin' ni. 😂😂😂



Balik kerja petang semalam sempat singgah sekejap di kedai Acheh. Ambil ikan kembung tiga ekor untuk digoreng nanti. Harga sekila rm16. Tiga ekor harganya rm8.

Nampak ikan jenahak dan ikan merah, segar lagi. Ikan jenahak rm36 sekilo, manakala ikan merah rm32 sekilo. Mak Hencik pun ambil ikan merah seekor sebab ikan jenahak tu besar sikit, takut tak habis pula. Harga rm23 seekor. 🐳 tapi berbaloi.. sedappp..



Resepi Kari Ikan Merah yang Sedap
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

2 keping ikan merah
1 biji bawang merah besar saiz sedang, dihiris
1 biji bawang putih, dihiris
2 hiris halia, dimayang
3 sudu besar membukit serbuk kari ikan, dicampur dengan sedikit air
4 cawan santan
1 biji tomato, dibelah empat
5 biji bendi
1 tangkai lada hijau
Sedikit daun kari
Air asam jawa secukupnya
Garam dan gula secukupnya
Sedikit minyak masak untuk menumis

Cara-cara menyediakannya

Jom.. jom.. mengari kita hari ini..



Serbuk kari dibancuh dengan sedikit air.



Bendi dipotong kepala dan ekor.



Bahan-bahan hiris, lada hijau, tomato dan daun kari.



Langkah 1
Panaskan minyak dan tumis bahan hiris. Kacau seketika sehingga keperangan.



Langkah 2
Masukkan bancuhan serbuk kari. Kacau sehingga kering.



Langkah 3
Masukkan kepingan ikan merah. Kacau lagi.



Langkah 4
Masukkan santan. Kacau seketika. Biarkan sehingga kuah mendidih.



Langkah 5
Bila kuah sudah mendidih, masukkan air asam jawa. Masukkan juga garam dan gula secukup rasa.



Langkah 6
Semasa kuah tengah menggelegak itu juga kita masukkan bendi, tomato, daun kari dan lada hijau. Biarkan ia terus menggelegak sehingga bendi masak dan kuah pekat sedikit.



Langkah 7
Bila kari kita sudah masak, rasanya pun boleh tahan aummm sedapnya, boleh matikan api dapur.



Langkah 8
Hidangkan dalam mangkuk. Wahhh! Banyaknya kuah.. tenggelam ghaib si ikan merah.. 😂😂 Den ler dalam keluarga penggemar makan nasi berkuah banjir..😂😂😂

Jemput makan..

Bismillah..

Ahad, 14 Oktober 2018

Resepi Karipap Pusing

Nampak cantik ajer ku tengok karipap pusing ni yang orang lain buat. Kalau aku buat sendiri cantik juga ke tidak? Jom kita cuba buat.. Ermmm.. nampaknya Mak Hencik kena praktis lagi dengan lebih tekun nii.. 😅😅😅



Tak apa nanti lain kali kita buat lagi. Mudah-mudahan hasilnya akan berubah.. berubah menjadi bertambah cantik. Jangan pula berubah menjadi bertambah buruk pula.. hihihi

Practice makes perfect! 💪💪💪💪


RESEPI KARIPAP PUSING
Oleh Dapur Cempakasari
Sumber resepi :  FB Mas Cotek

Bahan-bahan

Doh A iaitu doh tepung

2 1/2 cawan tepung gandum
1 sudu kecil garam
1/4 cawan minyak masak - dipanaskan
1/2 cawan air

Doh B iaitu adunan minyak

1 1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan marjerin
2 sudu besar shortening

Cara-cara membuatnya

Jooooommmmmmm...


Mula-mula kita buat intinya dahulu.

Bahan-bahan inti kentang

5 biji kentang dipotong dadu dan direbus sehingga empuk. Toskan air.
1 cawan ayam cincang
1 biji bawang merah besar, dihiris
1 biji bawang putih, dihiris
1 hiris halia, dimayang halus
3 sudu besar rempah kari daging
3 tangkai daun sup, dihiris
1 cawan air
1 ketul kiub ayam
Sedikit tepung gandum
Garam dan gula secukupnya

Cara-cara membuatnya

1. Panaskan minyak. Tumis bawang putih, bawang merah dan halia. Kacau sehingga kekuningan.

2. Masukkan bancuhan serbuk kari. Kacau seketika sehingga air kering.

3. Kemudian masukkan isi ayam atau daging, jika suka. Kalau tak suka tak payah bubuh. Kacau rata.

4. Masukkan air. Masukkan bahan perasa seperti garam dan gula. Masukkan juga kiub ayam yang dihancurkan. Kacau sekali-sekala.

5. Apabila kuah sudah pekat, masukkan daun sup. Kacau lagi.

6. Akhir sekali tabur tepung gandum untuk memekatkan inti. Sebelum tu, cuba rasa dulu inti kita tu. Nak manis ke.. Nak masin ke.. Nak pedas ke..

7. Dah siap, tutup api.

8. Sejukkan..

Sekarang jom buat kulitnya pula..


Buat adunan B iaitu adunan minyak. Masukkan semua bahan dan gaul sebati.


Buat adunan A iaitu adunan tepung. Gaul semua bahan sehingga membentuk adunan yang lembut.

Sebenarnya nak buat yang mana dulu tu tak kisah pun.. asalkan ada dua adunan tu, minyak dan tepung.


Bulatkan 6 biji adunan minyak.


Bulatkan 6 biji adunan tepung.


Ambil sebiji adunan tepung, leperkan sedikit dan masukkan adunan minyak.  Tutup cantik-cantik supaya tidak terbuka dan gentel bulat.


Buat sampai habis.


Ambil sebiji bebola, leperkan dan gelek sehingga nipis. Kemudian sapu di atasnya sedikit air menggunakan berus.


Lepas tu gulung.


Ini yang baru siap gulung.


Ambil yang kita siap gulung tadi dan leperkan sedikit. Tekan-tekan sikit guna tangan jer.


Gelek lagi supaya nipis. Sekali lagi sapukan air dengan berus di atasnya.


Kemudian gulung.


Ini yang sudah siap gulung. Buat semua ya.


Ini enam gulung dari enam biji bebola.


Ambil satu gulung dan potong 5 hingga 7 keping. Mak Hencik buat 5 potong sebab nak tebal sikit.


Mak Hencik potong semua sekali enam-enam gulung tu.


Ambil sekeping. Penyekkan sikit guna tangan supaya senang digelek.


Gelek sikit mengikut ketebalan yang dikehendaki.


Letakkan inti.


Sapu sedikit air di tepinya kemudian tutup karipap.


Kelim tepinya. Siap sebiji.


Ni proses nak bagi cepat siap. Gelek banyak-banyak, kemudian susun dan letak inti. Sapu air tepinya, tutup karipap dan kelim. Buat sampai habis.


Seterusnya panaskan minyak dan gorenglah sehingga warna bertukar ke warna keperangan atau sehingga masak.


Angkat dan toskan minyak. Dapat banyak biji juga. Jadi, Mak Hencik goreng separa masak. Nanti masukkan dalam bekas plastik dan bekukan dalam peti sejuk.


Yang 👆👆 pula untuk kita mengisi tembolok kita sendiri.. 😅😅

Jemput makan kawan-kawan..

Bismillah..

Khamis, 4 Oktober 2018

Udang Celup Tepung Kembung Ala Thai

Udang celup tepung, yang garing dan rangup. Dicicah pula dalam sos pencicah yang sedap. Mmm.. nikmatnya! 🤗🤗🤗



Apabila udang ni masuk ke dalam mulut.. oh ho ho ho.. bayangkan rasanya.. Rangup tepungnya kriuk kriuk.. Lembut isi udangnya.. Sosnya pula membangkitkan rasa yang sempurna, pedas.. manis.. saling lengkap-melengkapi.. chewahhh!! 😂😂😂



RESEPI UDANG CELUP TEPUNG
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

15 ekor udang saiz besar
3/4 cawan tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
3/4 cawan air, atau secukupnya
Sedikit garam
Sedikit pewarna kuning
Minyak secukupnya untuk menggoreng terendam atau menggoreng minyak penuh.

Cara-cara menyediakannya

Jom.. jom.. buat udang celup tepung kembung!



Langkah 1
Dalam mangkuk adunan, masukkan tepung gandum, baking powder dan sedikit garam. Gaul rata.

Kemudian masukkan air sedikit demi sedikit dan kacau sehingga mendapat kepekatan yang dikehendaki. Bancuhannya tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair.

Akhir sekali masukkan beberapa titis pewarna kuning. Kacau lagi sehingga warnanya sebati. Tutup adunan dan biarkan seketika.



Langkah 2
Udang dibersihkan, dibuang kulit kecuali bahagian ekor.

Lap udang dengan tisu dapur untuk menyerap air udang. Nanti bila goreng nanti, tidak meletup-letup dalam kuali.



Langkah 3
Panaskan minyak sampai betul- betul panas. Minyak pula bubuh banyak sikit sebab kita nak goreng terendam.



Langkah 4
Bila minyak dah cukup panas, celup udang dalam bancuhan tepung tadi dan mulalah menggoreng.



Caplunggg!



Gorenglah udang sehingga tepung berwarna kekuningan. Balikkan supaya udang masak sekata.



Langkah 5
Bila udang sudah masak di mana warnanya kuning keperangan, bolehlah diangkat. Toskan minyak.



Ini pusingan kedua.. Gorenglah sampai habis..



Hidangkan di dalam bekas yang sesuai dengan jiwa raga kita.. atau mana-mana pinggan hidang yang kita ada.. huhu

Jemput makan kawan-kawan. Sedap nih udang celup tepung kembung dicicah dengan sos pencicah. Panas-panas lagi ni, garing dan rangup lagi!

Bismillah..