Masakan pilihan dalam kesibukan bekerja. Masakan pilihan terbaik! 👍👍
Pelbagai resepi Nasi Ala Kak Wok terdapat di merata tempat. Walau rasa yang sedikit berbeza kerana air tangan tukang masak masing-masing atau penggunaan rempah gulai yang berbeza, Nasi Ala Kak Wok mempunyai persamaan dari segi kandungan hidangannya.
Hidangan nasi Ala Kak Wok biasanya terdiri dari nasi putih, gulai dalca, ayam goreng tempah yang dihiris kecil dan sambal lada.
Cara penyediaan yang sangat mudah, ringkas dan memenuhi selera kita adalah sebab kenapa menu ini menjadi kegemaran ramai.
RESEPI NASI ALA KAK WOK
Oleh Dapur Cempakasari
Bahan-bahan Gulai Dalca Sayuran
Keropeh ayam ( kaki, leher, sayap ayam) dipotong kecil
2 ulas bawang putih, dihiris
1/2 biji bawang merah besar, dihiris
1/2 inci halia, dimayang
1 biji lada merah, dipotong serong
2 biji bendi, dipotong kecil
1 biji terung, dipotong kiub kecil
1/2 batang karot, dihiris bulat
1 biji kentang, dipotong dadu
2 urat kacang panjang, dipotong seinci panjang
3 sudu besar rempah kari daging di bancuh dengan 1/2 cawan air
3 cawan santan
Air asam jawa secukupnya
Garam, gula secukupnya
Bahan-bahan Ayam Goreng Berempah
4 ketul ayam - dipotong kecil
*4 biji bawang putih
*1/2 biji bawang merah besar
*1/2 inci halia
*1 inci kunyit atau 1 sudu kecil serbuk kunyit
*1 sudu kecil jintan manis
*1 sudu kecil jintan putih
*1 sudu kecil ketumbar
Semua bahan bertanda * dikisar halus
3 sudu besar rempah kari daging
1 batang serai, diketuk
1 sudu besar tepung beras
1 sudu kecil Maggi secukup rasa
1 sudu kecil gula
1 sudu kecil garam atau secukupnya
Bahan-bahan Sambal Lada
3 biji lada merah, dipotong kecil
10 cili padi, dibuang tangkai
1 biji bawang putih, dibakar
1/4 bawang besar Holland, dibakar
1/2 inci belacan, dibakar
Sedikit cuka dan air
Sedikit garam dan gula
(semua bahan di atas dikisar sehingga halus)
Cara-cara membuatnya.
Mula-mula kita masak nasi putih. Kemudian kita menggulai dahulu.
Jom.. Kita sediakan bahan-bahan untuk buat dalca sayuran.
Keropeh ayam yang dipotong kecil. Bawang putih yang dihiris, bawang merah besar yang dihiris serta halia yang dihiris halus memanjang.
Antara sayuran yang digunakan ialah kentang, karot, kacang panjang dan bendi. Bendi dipotong apabila nak dimasukkan dalam gulai nanti untuk elakkan daripada berlendir.
Terung ungu. Yang bulat boleh, yang panjang pun boleh. Suka hati hangpa noooo. Lepas tu potong kecil, Ala-Ala kiub gitu..
Jom mulakan masakan kita.
Panaskan minyak, tumis bawang putih, bawang merah dan halia sehingga kekuningan. Lepas tu masukkan bancuhan rempah kari daging. Kacau seketika sehingga naik minyak.
Kemudian masukkan keropeh ayam atau tulang ayam yang dipotong kecil dan kentang. Kacau lagi sehingga rata.
Apabila isi ayam sudah separuh masak, masukkan pula terung. Kacau lagi sebentar.
Seterusnya masukkan santan sambil dikacau sekali-sekala sehingga kuah menggelegak.
Bila kuah sudah menggelegak, masukkan air asam jawa.
Masukkan juga karot, kacang panjang dan cili merah. Kacau perlahan-lahan. Jangan lupa bubuh garam dan gula (jika suka) secukupnya.
Biarkan supaya kuah pekat sedikit.
Bila sudah pekat elok kuah dalca, rasa pun sudah sedap, bolehlah tutup api. Masukkan ke dalam mangkuk hidang. Siap!
Selesai menggulai dalca kita masak ayam goreng rempah pula.
Cara menyediakan ayam goreng berempah mabeles
Bahagian ayam dipotong kecil dan dibasuh bersih. Toskan.
Kisar bawang putih, bawang merah, halia, Kunyit hidup, jintan manis, jintan putih dan ketumbar sehingga halus.
Tuang bahan kisar ke dalam bekas yang mengandungi ayam tadi.
Masukkan garam gula sesedap rasa, serbuk Maggi secukup rasa, serbuk kunyit (kalau tak guna kunyit hidup) rempah kari dan sesudu besar tepung beras untuk bagi ayam goreng kita rangup.
Gaul rata. Perap seketika.
Untuk menggoreng, panaskan minyak yang agak banyak. Masukkan ayam apabila minyak sudah betul-betul panas. Balik-balikkan ayam supaya masak sekata.
Bila sudah keperangan, angkat dan toskan minyak. Masukkan ke dalam pinggan hidang. Siap!
Selesai memasak ayam goreng berempah, kita buat pula sambal lada.
Cara buat sambal lada paling mudah.
Sebiji bawang putih bakar, 1/4 biji bawang besar Holland bakar, belacan bakar, garam gula secukup rasa, sedikit cuka dan sedikit air di masukkan ke dalam pengisar dan kisar hancur. Seeloknya tak halus sangat.
Bawang yang dibakar tu Mak Hencik letak atas dapur gas jer. Biar kulit dia hangus sikit supaya ada aroma bawang bakar.
Dah siap kisar, rasalah dulu kejadiannya. Nak tambah sikit lagi garam ke.. Gula ke.. Cuka ke.. Tambahlah sesedap rasa mulut. 😂😂😂😂😂
Inilah lauk untuk hidangan nasi Ala Kak Wok. Dalca sayuran, ayam potong kecil goreng tempah dan sambal lada. Dalam piring kecil tu ikan masin dan telur masin lauk semalam. Hihihi
Jom makan kawan-kawan semua..
Bismillah..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan