Ahad, 14 Oktober 2018

Resepi Karipap Pusing

Nampak cantik ajer ku tengok karipap pusing ni yang orang lain buat. Kalau aku buat sendiri cantik juga ke tidak? Jom kita cuba buat.. Ermmm.. nampaknya Mak Hencik kena praktis lagi dengan lebih tekun nii.. 😅😅😅



Tak apa nanti lain kali kita buat lagi. Mudah-mudahan hasilnya akan berubah.. berubah menjadi bertambah cantik. Jangan pula berubah menjadi bertambah buruk pula.. hihihi

Practice makes perfect! 💪💪💪💪


RESEPI KARIPAP PUSING
Oleh Dapur Cempakasari
Sumber resepi :  FB Mas Cotek

Bahan-bahan

Doh A iaitu doh tepung

2 1/2 cawan tepung gandum
1 sudu kecil garam
1/4 cawan minyak masak - dipanaskan
1/2 cawan air

Doh B iaitu adunan minyak

1 1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan marjerin
2 sudu besar shortening

Cara-cara membuatnya

Jooooommmmmmm...


Mula-mula kita buat intinya dahulu.

Bahan-bahan inti kentang

5 biji kentang dipotong dadu dan direbus sehingga empuk. Toskan air.
1 cawan ayam cincang
1 biji bawang merah besar, dihiris
1 biji bawang putih, dihiris
1 hiris halia, dimayang halus
3 sudu besar rempah kari daging
3 tangkai daun sup, dihiris
1 cawan air
1 ketul kiub ayam
Sedikit tepung gandum
Garam dan gula secukupnya

Cara-cara membuatnya

1. Panaskan minyak. Tumis bawang putih, bawang merah dan halia. Kacau sehingga kekuningan.

2. Masukkan bancuhan serbuk kari. Kacau seketika sehingga air kering.

3. Kemudian masukkan isi ayam atau daging, jika suka. Kalau tak suka tak payah bubuh. Kacau rata.

4. Masukkan air. Masukkan bahan perasa seperti garam dan gula. Masukkan juga kiub ayam yang dihancurkan. Kacau sekali-sekala.

5. Apabila kuah sudah pekat, masukkan daun sup. Kacau lagi.

6. Akhir sekali tabur tepung gandum untuk memekatkan inti. Sebelum tu, cuba rasa dulu inti kita tu. Nak manis ke.. Nak masin ke.. Nak pedas ke..

7. Dah siap, tutup api.

8. Sejukkan..

Sekarang jom buat kulitnya pula..


Buat adunan B iaitu adunan minyak. Masukkan semua bahan dan gaul sebati.


Buat adunan A iaitu adunan tepung. Gaul semua bahan sehingga membentuk adunan yang lembut.

Sebenarnya nak buat yang mana dulu tu tak kisah pun.. asalkan ada dua adunan tu, minyak dan tepung.


Bulatkan 6 biji adunan minyak.


Bulatkan 6 biji adunan tepung.


Ambil sebiji adunan tepung, leperkan sedikit dan masukkan adunan minyak.  Tutup cantik-cantik supaya tidak terbuka dan gentel bulat.


Buat sampai habis.


Ambil sebiji bebola, leperkan dan gelek sehingga nipis. Kemudian sapu di atasnya sedikit air menggunakan berus.


Lepas tu gulung.


Ini yang baru siap gulung.


Ambil yang kita siap gulung tadi dan leperkan sedikit. Tekan-tekan sikit guna tangan jer.


Gelek lagi supaya nipis. Sekali lagi sapukan air dengan berus di atasnya.


Kemudian gulung.


Ini yang sudah siap gulung. Buat semua ya.


Ini enam gulung dari enam biji bebola.


Ambil satu gulung dan potong 5 hingga 7 keping. Mak Hencik buat 5 potong sebab nak tebal sikit.


Mak Hencik potong semua sekali enam-enam gulung tu.


Ambil sekeping. Penyekkan sikit guna tangan supaya senang digelek.


Gelek sikit mengikut ketebalan yang dikehendaki.


Letakkan inti.


Sapu sedikit air di tepinya kemudian tutup karipap.


Kelim tepinya. Siap sebiji.


Ni proses nak bagi cepat siap. Gelek banyak-banyak, kemudian susun dan letak inti. Sapu air tepinya, tutup karipap dan kelim. Buat sampai habis.


Seterusnya panaskan minyak dan gorenglah sehingga warna bertukar ke warna keperangan atau sehingga masak.


Angkat dan toskan minyak. Dapat banyak biji juga. Jadi, Mak Hencik goreng separa masak. Nanti masukkan dalam bekas plastik dan bekukan dalam peti sejuk.


Yang 👆👆 pula untuk kita mengisi tembolok kita sendiri.. 😅😅

Jemput makan kawan-kawan..

Bismillah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan