Jumaat, 6 April 2018

Bihun Sup yang Sangat Mudah dan Sedap

Biasa hari Jumaat masak nasi ayam. Tapi malam tadi, anak-anak sudah siap bagitahu tak mahu hidangan nasi. Jadi Mak Hencik pun masaklah bihun pula.




Sampai sahaja anak-anak dari sekolah, terus sahaja ditanya mengenai juadah hari ini.

"Rehat tadi pun makan bihun sup kat kantin."

"Baru sahaja makan bihun sup masa tunggu mak cik van sebentar tadi." Bekas yang mengandungi bihun sup yang tidak sempat dihabiskan tu ditunjukkan ke arahku.

Hurmmmmm...



RESEPI BIHUN SUP YANG SEDAP
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 1/2 keping bihun - dicelur dalam air panas, dan ditoskan

Bahan Kuah Sup

3 ketul ayam - dipotong kecil
5 ulas bawang putih - diketuk
1/2 inci halia - diketuk
1 biji bawang merah besar - dihiris
2 liter air
1 uncang sup bunjut
3 sudu besar rempah sup
1 biji tomato - dipotong wedges
1 sudu besar jus limau nipis
10 batang sayur sawi - dipotong panjang 2 inci.
Garam, gula dan serbuk perasa secukupnya
Minyak untuk menumis secukupnya

Bahan hiasan

Bawang goreng
Daun sup hiris
Serbuk lada sulah
Kicap sambal pedas

Cara-cara menyediakanya



Langkah 1
Panaskan minyak masak, tumis bawang putih ketuk, halia ketuk dan bawang merah sehingga bertukar ke warna ke kuning-kuningan.



Langkah 2
Bila bawang berwarna kekuning-kuningan, masukkan isi ayam. Kacau seketika sehingga isi ayam separuh masak.



Langkah 3
Masukkan air ke dalam periuk.



Langkah 4
Masukkan garam, gula, serbuk perasa, sup bunjut, serbuk rempah sup, tomato dan daun sup yang dihiris kasar. Biarkan sehingga mendidih.



Langkah 5
Bila sudah mendidih, masukkan sayur sawi. Biarkan sekejap sahaja kemudian tutup api. Maka siaplah kuahnya. 🌼🌼🌼



Langkah 6

Sediakan sambal kicap pedas.

7 biji cili padi
1 biji bawang putih
1 sudu besar gula
1/3 cawan kicap

Semua bahan di atas dikisar sehingga hancur. Maka siaplah sambal kicap pedas kita. 🌻🌻🌻



Langkah 7
Bihun direndam sekejap dalam air biasa. Biar dia jadi lembut gemalai sedikit.

Panaskan air sehingga mendidih, kemudian masukkan bihun. Bila bihun sudah lembut tutup dan toskan airnya.

Maka dah siaplah bihun kita.. 🌺🌺🌺



Bawang goreng sebagai hiasan.



Langkah 8
Bila sudah siap semua, maka bolehlah kita menghidang. Renjis serbuk lada sulah sikit. Wahhh enaknya!!

Jemput makan..

Bismillah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan