Isnin, 2 April 2018

Ayam Masak Pedas yang paling Mudah dan Sedap

Petang tadi semasa bersembang dengan suami di serambi rumah, tiba-tiba muncul dua ekor ayam yang rupanya, saiznya, sama seperti ayam kampung, tetapi mempunyai satu titik atau tanda berwarna putih di kepalanya.




"Itu ayam hutan tuh," beritahu suami. Dia pun menjadi penglipur lara. Bercerita mengenai ayam hutan.

"Pergilah tangkap ayam tu, Yang. Boleh kita buat rendang." Aku cadangkan.



Suami memaklumkan yang ayam hutan ni sangat liar dan sangat sukar untuk menangkapnya. Walaupun isinya sangat liat, lebih kurang ayam pencen, rasanya pula sangat sedap.

Tapi masakan hari ni bukan dari ayam hutan. Bukan juga ayam kampung. Bukan juga ayam pencen. Tetapi ia adalah ayam reban.. 😂😂😂



RESEPI AYAM MASAK PEDAS YANG PALING MUDAH DAN SEDAP
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

10 ketul ayam - disapu garam kunyit dan digoreng.
2 biji bawang putih
1 biji bawang merah besar, saiz sederhana
3 sudu besar cili kering kisar
3 sudu besar sos cili
1 cawan air
1 biji tomato 🍅 - dipotong wedges
1 biji lada hijau - dipotong serong
1/2 biji bawang besar - dihiris
2 sudu besar gula
1/2 sudu kecil garam
Minyak secukupnya untuk menumis dan menggoreng

Cara-cara menyediakannya

Marilah mari.. 🎵🎵🎵                                                               Pergi ke dapur.. 🎵🎵🎵



Langkah 1
Ayam dibasuh bersih, ditoskan dan disapu garam serta kunyit. Goreng ayam, toskan minyak dan ketepikan.



Langkah 2
Hiris bawang putih dan bawang merah.



Langkah 3
Panaskan minyak, tumis bawang putih, bawang merah dan cili kering kisar. Kacau seketika sehingga bahan tumisan garing.



Langkah 4
Bila bahan tumisan sudah garing, tuangkan air. Masukkan gula, secubit garam dan sos cili secukupnya. Kacau rata seketika dan biarkan sehingga mendidih.



Langkah 5
Sementara menunggu kuah mendidih, potong tomato, cili dan bawang besar Holand.



Langkah 6
Masukkan tomato dan cili hijau. Kacau seketika.



Langkah 7
Akhir sekali masukkan ayam dan bawang besar Holand hiris.



Langkah 8
Kacau sehingga rata dan biarkan ayam mereneh seketika mengikut kepekatan yang kita kehendaki. Dah masak tutup api.



Langkah 8
Masukkan ke dalam mangkuk hidangan yang paling bergaya. Phewwwiiiiiitttt. Hiaskan dengan daun sup. Sedia untuk dijamah bersama nasi.

Jemput makan kawan-kawan..

Bismillah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan