Selasa, 23 Januari 2018

Resepi Solok Lada Bambam yang Sedap

Solok lada sangat sedap apabila kita menggunakan isi ikan segar yang banyak dicampur dengan kelapa parut yang muda. Gabungan isi ikan dan kelapa parut menghasilkan satu rasa yang tersendiri. Rasa yang enak. Rasa yang lazat. Kita pun tidak dapat melupakan keenakkannya. Kita pun tidak dapat melupakan kelazatannya..

 


Mak Hencik ni sudah agak lama juga teringin nak makan solok lada, tetapi tidak dapat menyediakannya kerana tidak berhasil menemukan lada hijau yang khusus untuk solok lada. Warna lada itu ialah hijau muda. Oleh kerana tidak berjumpa dengan lada hijau muda itu, Mak Hencik pun membuatnya menggunakan lada hijau biasa sahaja.

Cuma Mak Hencik cari lada yang gemuk di bahagian tangkainya. Kalau bahagian tangkainya kurus, susah pula nanti kita nak menyumbatnya dengan adunan solok. Kebetulan pula, pagi Ahad yang lalu Mak Hencik singgah di pasar. Mak Hencik nampak lada hijau yang gemuk-gemuk tetapi pendek yang Mak Hencik rasa sangat sesuai untuk dibuat solok lada. Jadi, apa lagi.. Mak hencik pun terus sahaja membelinya. Orang kata, kalau tiada gading, tanduk pun berguna juga.. kannn..



RESEPI SOLOK LADA MEK YANG SEDAP
oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

5 ekor ikan sardin saiz besar - disiang, dibersihkan dan diasingkan isi dengan tulangnya, dan dikisar.
9 biji lada hijau - dibelah tengah dan dibuang biji.
2 biji bawang merah
1 cawan kelapa parut
garam dan gula secukupnya
2 cawan santan - untuk merebus

Cara-cara membuatnya

Maghi kita masuk ke dapur



Lada dibelah tengah, dibuang biji dan direndam di dalam air. Biarkan seketika.


Ikan sardin, disiang dan dibersihkan.


Isi ikan yang telah diasingkan dengan tulang. Ambil isi ikan sahaja dan kisar dengan pengisar kering.

Tulang ikan boleh disedekahkan kepada encik Meow.


Di dalam bekas, masukkan isi ikan kisar, kelapa parut dan bahan yang ditumbuk.
 Kelapa parut tu kena guna yang muda. Kalau guna yang tua nanti berhampas rasanya. Solok akan jadi kurang sedap. Yang muda tu macam yang kita nak buat kuih tu. Bukan yang isinya berhingus macam air kelapa muda tu ya.


Tumbuk bawang merah, garam dan gula secukupnya.


Gaul rata dan sebati. Masa ni boleh rasa. Masin ke tak, manis ke tak. Tambahlah yang mana kurang. Kalau dah sedap, teruskan ke langkah seterusnya.


Bulat-bulatkan untuk dimasukkan ke dalam lada hijau tadi. Saiz lebih kurang sebesar bola ping pong.


Haa.. apa lagi. Ambil sebiji bebola tadi.


Sumbatlah ke dalam lada hijau tu. Biar ia memenuhi ruang kosong di dalam lada.
Bentukkan cantik-cantik. 

Lada tu toskan dulu ya. Yang di atas tu nak tunjukkan ruang dalam lada yang perlu disumbat dengan adunan solok tadi. Takleh ambil gambar dah sebab dua-dua tangan sedang digunapakai.Hehehe


Dah siap, masukkan terus ke dalam periuk.


Buatlah sampai habis. Eh eh habis pula lada. Adunan solok ada lagi ni.. Tak per tak per.. Kita bulat-bulatkan jer. Pastu masukkan sekali dalam periuk.

Kadang-kadang kalau lada tu pedas, anak-anak akan ambil yang bebola tu..Hihi


Kemudian, tuang santan ke dalam periuk tadi.


Tenggekkan periuk tadi di atas dapur, tutup dengan tudung periuk dan buka api.
Rebuslah solok lada kita tu sehingga kering santannya.


Selalu-selalu lah check santan tu. Mymom pesan kalau dengar sampai ada bunyi tap tap tap, baru boleh tutup api. Jangan sampai kering hangus sudahlah ya.


Solok lada yang sudah siap.. Bolehlah dihidangkan untuk dimakan dengan nasi. Sangat sedap dimakan dengan nasi kerabu. Jemput makan semua..

Bismillah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan