Oleh kerana badan ikan cencaru ni agak besar juga saiznya, bolehlah kita masak bakar berempah. Elok sangat ni makan panas-panas.
RESEPI IKAN CENCARU BAKAR BEREMPAH
Oleh Dapur Cempakasari
Bahan-bahan
2 ekor ikan cencaru saiz besar
*2 biji bawang merah besar
*2 biji bawang putih
*2 batang serai
*1 sudu kecil jintan putih
*1 sudu kecil jintan manis
Bahan bertanda * dikisar halus
5 sudu besar cili kering kisar
3 helai daun limau purut
2 sudu besar gula atau secukupnya
3 sudu besar gula perang
1/2 sudu kecil garam
Sedikit air asam jawa
Sedikit minyak untuk menumis
Cara-cara menyediakannya
Jom kita memasak!
Ikan cencaru dibelah belakang, dibasuh bersih dan ditoskan. Kemudian lumur dengan garam luar dan dalam. Alaa.. lumur macam kita nak goreng ikan tu, cuma tak letak kunyit jer.
Bawang putih, bawang merah, jintan putih, jintan manis dan serai dikisar halus.
Mula-mula sekali kita panaskan minyak dan tumis bahan kisar dan 5 sudu besar cili kering kisar.
Kacau seketika sehingga bahan tumisan masak dan garing.
Masukkan air asam jawa.
Masukkan juga gula merah, gula dan sedikit garam. Rasa mesti ada manis sikit.
Kemudian masukkan daun limau purut yang diramas sedikit.
Dah siap, tutup api. Kalau rasa minyak terlebih banyak, buang ler. Ambil sikit jer. Kalau tak ambil langsung nanti kering pula ikan bakar kita nanti.
Ambil ikan cencaru yang sudah dibedah tadi dan masukkan bahan tumis tadi. Sapu kat dalam, sapu kat luar atas dan bawah ikan.
Pada mulanya Mak Hencik nak balut ikan tadi, tapi nampaknya hajat tak kesampaian. Aluminium foil yang satu tu dah habis, tak cukup. Ambil yang satu lagi tu pula macam rosak, warnanya sudah bertukar pudar. Takut pula nak guna. Daun pisang pun tarak ni..
Nak bagi sedap, balut ikan tadi dengan daun pisang dan aluminium foil. Nanti dia akan berair sikit bila masak. Isi ikan lembap, juicy rasa dia..
Oleh kerana tiada pilihan, Mak Hencik bakar togel gitu jer atas kuali tak ajaib. Api hendaklah perlahan sahaja.
Tutup dia dengan tudung periuk. Agak-agak ikan dah masak, buka tudung periuk dan balikkan ikan. Jangan ko balikkan kuali tu Cik adik oii. Lepas tu tutup semula. Tunggu ler sekejap sampai masak.
Sudah masak, masukkan ke dalam pinggan. Bolehlah dihidangkan untuk hidangan makan tengahari kita. Cicah pula dengan sambal kicap pedas. Mmm.. Meleleh ..
Jemput makan semua..
Bismillah..
Eh eh tadi kan dua ekor ikan? Apa pasal seekor jer ni..? Mana lagi seekor?
Lagi seekor ni, Mak Hencik masukkan dalam bekas tipuware kedai dua hengget.
Tutup dan masukkan ke dalam peti sejuk. Nanti kalau nak makan, bakarkan dia.. okbye!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan