Nasi kerabu ni memang sedap. Kena pula dengan lauk yang istimewa. Berganda-gandalah sedapnya. Bertambah-tambahlah makan nasi pula. Berkembang-kembang pulalah bentuk badan kita. Huhuhu
Asalnya Mak Hencik ni tidak pandai memasak, apatah lagi nak memasak nasi kerabu. Asalnya juga Pak Hencik yang ajarkan Mak Hencik memasak nasi kerabu. Salah satu sebabnya ialah agak sukar untuk merasa masakan nasi kerabu yang sesuai dengan lidah sendiri.
Walaupun selalu juga beli nasi kerabu di pasar malam, tapi keenakan masakan sendiri memang memberi lebih kepuasan. Nasi kerabu yang orang jual tu sedap, tapi sedap lagi yang kita buat sendiri. Hamboiii angkat bakul sendiri pula ya.. Hahaha.
Mana taknya, kalau beli kadang-kadang rasanya sangat manis, atau terlebih masin. Sambal kelapa pula penuh dengan kelapa semata, isi ikan seco'et sahaja. Mana nak sedapnya. Budu banyaklah. Budu kuranglah. Tumisnya cair, pastu berlendir.. Ishh macam-macam. Itu semua kata-kata si dia.., nak suruh Mak Hencik belajar masak dulu-dulu. 😂😂
Nasi kerabu yang sedap terletak pada sambal kelapa dan tumisnya. Mesti ada keseimbangan manis dan masin. Bila ditambah air lada pula, ia akan menambahkan rasa sedikit masam dan pedas. Jadi semua rasa ada, manis, masin, masam dan pedas. Haaa lengkaplah rasa Rice to Wednesday kita..😍😍
NAI KERABU PUJAAN HATIKU
oleh Dapur Cempakasari
Bahan nasi
3 cawan beras
3 helai daun limau purut
1/2 sudu kecil garam
4 cawan air atau secukupnya. Ikut ragam beras masing-masing
1 titis pewarna biru
Bahan Sambal Kelapa
1/2 biji kelapa parut - digoreng tanpa minyak sehingga garing keperangan
2 ekor ikan sardin - dibakar di atas kuali
sehingga masak. Kemudian asingkan isi dengan tulang dan kisar kering sehingga halus.
*2 biji bawang merah
*1/2 sudu teh lada hitam
*1 batang serai yang besar, dihiris halus
Bahan bertanda * ditumbuk halus
Garam dan gula atau manisan secukupnya
Bahan Tumis
*1/2 biji bawang merah besar
*2 biji kecil bawang putih
*3 tangkai cili kering - dibuang biji dan digunting
*1 hiris halia
Bahan bertanda * dikisar halus
1-2 batang serai - diketuk
1 keping asam gelugur saiz kecil
2 cawan santan
1/3 cawan budu - optional
Bahan air lada
*10 biji cili padi
*2 sudu besar jus limau nipis atau cuka
*1/2 cawan air masak
Garam dan gula secukupnya
Semua bahan bertanda * dikisar sehingga halus.
Cara-cara membuatnya
Maghi laaa kita masuk ddapo.. hari ni kita buat nasi krabu..
Mula-mula kita masak nasi dulu.
Kita basuh beras sampai bersih, masukkan air, daun limau purut, garam (tak letak pun tak apa juga) dan pewarna biru atau kuning.
Kalau korang ada bunga telang, boleh kisar untuk ambil airnya. Lagi best ooo. Begitu juga kalau korang ada daun sitam, kisar daun dengan air, tapis dan masukkan ke dalam beras. Laaagi sedap bau nasinya. Warna biru pekat jadinya nasi kerabu kita. Tapi ituler, duduk kat bandar ni Mak Hencik tak hadoww..
Tekan butang on rice cooker kita dan biarkan sampai masak.
Cara buat tumis nasi kerabu
Mula-mula kita kisar cili kering, bawang putih, bawang merah dan halia.
Di dalam periuk, masukkan santan, bahan kisar, serai yang diketuk, asam keping, budu dan gula. Mak Hencik tidak bubuh garam kerana budu sudah masin.
Kalau tak bubuh budu, masukkan garam. Tumis ni rasanya masin sedikit berbanding manis.
Sekiranya bubuh sedikit sahaja budu, maka eloklah diletakkan garam secukup rasa.
Biarkan sahaja tumis kita menggelegak dan pekat. Kacau sekali-sekala sahaja. Bila dah pekat, tutuplah api.
Sementara tumis kita pekat, bolehlah kita buat sambal kelapa.
Cara buat sambal kelapa
Goreng kelapa parut sehingga garing dan keperangan. Kemudian, sejukkan.
Sementara menunggu kelapa goreng sejuk, kita panggang ikan. Mak Hencik panggang atas kuali jer. Haha
Kalau nak rebus pun boleh tapi panggang membuatkan sambal kelapa lebih wangi dan tahan lama sampai keesokan hari.
Kisar kering isi ikan panggang sampai hancur. Ketepikan dulu.
Tumbuk lada hitam, serai, bawang merah, gula dan garam sehingga lumat.
Rasa sambal kelapa ni manis, jadi gula atau manisan tu kena letak banyak sikit.
Ambil sebuah bekas, masukkan kelapa goreng, isi ikan yang dikisar halus dan bahan yang ditumbuk tadi.
Gaul rata. Kemudian rasa sedap ke tidak. Sambal kelapa ni dibuat sedikit manis.
Boleh juga digantikan gula dengan nise kerek@manisan kerek kalau suka.
Air lada untuk menjadikan nasi kerabu pedas.
Caranya sangat mudah. Masukkan cili padi, sedikit garam, sedikit gula, jus limau nipis dan sedikit air. Kisar sampai hancur cilinya. Rasanya mestilah pedas dan masam sedikit. Kalau masam banyak tak sedap pula. Hihi Masin dan manis pula seimbang.
Akhir sekali ulam-ulaman mengikut pilihan masing-masing. Daun kesum adalah ulam wajib. Yang lain ialah serai, tauge, kobis, timun dan lain-lain. Kacang panjang, bunga kantan, pucuk ketereh. Petai pun boleh.. Oh kalau ada daun serai kayu memang best ooo..
Hidangan nasi kerabu mesti ada nasi biru atau kuning, sambal kelapa, tumis budu dan ulam-ulaman.
Lauk pula ikut kegemaran kita. Ikan percik, ayam percik, ikan celup tepung, ayam goreng berempah, daging bakar, kambing bakar, ayam bakar, telur masin, keropok dan lain-lain yang kita suka. Sebabnya kita yang nak makan. Hahaha. Eh ada lagi.. solok lada, otak-otak ikan pun boleh dimakan bersama nasi kerabu.
Hari ini, nasi kerabu kita ditemani kambing bakar dan solok lada, disamping keropok keping. Fuhhhh sedapnya.
Bismillah..
Eh tak sempat nak jemput makan ni. Tetamu dah sampai. Silakan makan ya..sila..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan